KUCHING: Kejutan luar jangka dilakukan skuad futsal lelaki SUKMA Sarawak pada Kejohanan Futsal Jemputan Piala Johor 2026 (Pra-SUKMA 2026).
Barisan kendalian Mohamad Faizal Zamri berjaya meraih pingat gangsa pada saingan yang berlangsung di Stadium Tertutup Sports Hub, Kluang, Johor.
Kejohanan lima hari (17 hingga 21 April) itu menggunakan format round robin (liga satu pusingan). Lima perlawanan dilalui dengan catatan dua kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.

Skuad Sarawak terikat 4-4 pada aksi pembukaan menentang jiran tetangga, Sabah selaku naib juara edisi kali ini, sebelum seri 1-1 menentang Pahang pada perlawanan kedua.
Mereka tewas 4-1 kepada Kuala Lumpur pada aksi ketiga, namun bangkit membelasah Negeri Sembilan 9-4 pada perlawanan keempat.
Selain itu, pasukan tersebut turut menumpaskan tuan rumah selaku juara, Johor 5-2 pada perlawanan terakhir.
“Pencapaian amat memberangsangkan dengan kejayaan meraih pingat gangsa.
“Ia menjadi penanda aras positif untuk pasukan ini yang diperkuatkan barisan pemain muda berumur 18 dan 19 tahun,” ujar Faizal kepada Arena Suara Sarawak.
Faizal secara peribadi kagum dengan semangat juang yang dipamerkan barisan pemain pada setiap perlawanan.
“Kita berdepan pasukan yang dibarisi pemain berpengalaman dari negeri lain.
“Rata-rata pemain kita (Sarawak) berusia 18 hingga 19 tahun, namun mereka mampu memberi tentangan sengit kepada lawan,” tambahnya.
Beliau turut menyifatkan kejayaan meraih pingat gangsa dalam kejohanan tersebut memperlihatkan skuad terbabit mampu mencipta kejutan dalam kejohanan lain pada masa hadapan.
Dengan itu, pasukan berkenaan dilihat berpotensi untuk berada dalam kelompok tiga terbaik pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 nanti.


