Skuad Piala Presiden buru kemenangan keenam

SKUAD Piala Presiden Sarawak akan berkampung di Semenanjung Malaysia selama dua minggu untuk menghadapi tiga aksi.

Esok (Isnin) mereka akan menentang pasukan Akademi Mokhtar Dahari (AMD B-17), dan kemudiannya akan menentang Kelantan pada 22 Julai di Kota Baharu.

Pada 29 Julai pula mereka akan menentang skuad Terengganu FC III.

Ia merupakan tugas yang agak berat buat skuad Piala Presiden Sarawak kerana terpaksa berkelana di tempat orang setengah bulan.

Namun ia tidak menggugat semangat mereka untuk meraih kemenangan keenam hari ini.

“Para pemain telah menunjukkan peningkatan dari perlawanan ke perlawanan,” kata jurulatih, Jalil Ramli.

“Keyakinan semakin bertambah dan cara mereka menguasai bola dan menyerang juga bertambah baik,” jelasnya.

Jalil mengakui, pembentukan pemain memerlukan jangka masa tertentu, dan ia bukanlah sekelip mata.

Setelah mengharungi 19 perlawanan, Sarawak hanya menang lima kali, seri tiga kali, tetapi kalah 11 kali.

Bagi Jalil, keputusan adalah nombor dua, apa yang lebih penting ialah kefahaman dan kematangan pemain sepanjang di bawah kendaliannya.

Malah bekas kapten Sarawak itu yakin, terdapat empat hingga lima pemain boleh dinaikkan pangkat ke pangkuan pasukan senior musim depan.

BARISAN UTAMA… Inilah barisan utama skuad Piala Presiden Sarawak.