KUCHING: Skuad Prihatin Saribas menerima sumbangan 20 unit kerusi roda daripada Socoe Sdn. Bhd. bagi membantu masyarakat tempatan yang memerlukan.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Mohamad Razi Sitam, sumbangan itu akan diagihkan kepada golongan sasar khususnya mereka yang mengalami masalah kesihatan seperti warga emas, golongan kurang upaya, pesakit yang tidak dapat berjalan di kawasan tersebut.
“Bantuan kerusi roda tersebut akan diedarkan oleh Skuad Prihatin Saribas bagi memudahkan pesakit untuk bergerak, sama ada di rumah mahupun di luar.
“Selain bantuan kerusi roda, skuad ini juga banyak membantu mereka yang memerlukan dari segi keperluan lain seperti bakul makanan,” katanya.
Adun Saribas itu berkata demikian pada Majlis Sumbangan Kerusi Roda daripada SOCOE Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, JW Sam di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Tambah Razi, syarikat tersebut juga merupakan antara penyumbang kerusi roda yang banyak untuk pihaknya dengan pada tahun lalu telah memberikan sejumlah 10 unit kerusi roda, juga bagi tujuan kebajikan.
Beliau juga memberitahu kerusi roda yang diterima turut disumbangkan kepada pihak hospital serta klinik di Betong dan Debak.



