KUCHING: Pasukan skuasy Sarawak meneruskan cabaran untuk merampas semula pingat emas acara berpasukan, selepas menewaskan Wilayah Persekutuan 3-0 dalam acara separuh akhir di Pusat Skuasy Sarawak, sebentar tadi.
Bermula dengan pasangan regu lelaki, Harith Danial Jefri dan Altamis Aqhar Sallam A Sufian yang mengambil masa kira-kira 35 minit untuk menundukkan Juin Xian Yong dan Pravin Jeeva, 11-9; 8-11 dan 11-8 bagi memberikan mata pertama kepada Sarawak.
Bagi kategori individu wanita, Withney Isabelle Wilson kemudian menewaskan lawan Najwa Zara Mohd Fakhrur Razi 11-7; 5-11; dan 17-15.
Manakala dalam kategori beregu wanita, Nathalie Shu Eng Sim dan Eugenia David menewaskan Ayesha Rania Syed Humaiyun Kebir Arissa dan Faria Syed Gumaiyun Kebir, 11-7 dan 11-0.
Sekali gus memberikan kemenangan selesa dan membolehkan ahli pasukan lain, tidak perlu bermandi peluh.
Kemenangan skuad di bawah kendalian Ketua Jurulatih Squasy Sukma Sarawak, Athar Ali dan jurulatih Fabian Faurillo terbabit akan berdepan dengan lawan daripada Negeri Sembilan untuk merebut gelaran juara, esok.



