SIMANGGANG: Kem tinju Sarawak dijangka mampu menghadiahkan lebih banyak kilauan emas berbanding jumlah awal yang disasarkan.
Pengurus Pasukan Tinju Sarawak Gulbudin Hekmateyer berkata, dua malam aksi di peringkat separuh akhir memperlihatkan prestasi cemerlang petinju tuan rumah.
“Buktinya kita telah melepasi sasaran awal keseluruhan, yang mana lapan petinju Sarawak layak ke final, berbanding lima atau enam sahaja yang disasarkan.
“Saya harap kesemua petinju dapat meneruskan fokus dan menggunakan sorakan penyokong sebagai pembakar semangat.
“Kini sasaran kita ingin menuai lebih banyak pingat emas berbanding apa yang disasarkan oleh Persatuan Tinju Sarawak (SABA) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media susulan dua lagi petinju Sarawak layak ke pusingan akhir, malam tadi.

Jelasnya, malam ini enam petinju Sarawak turun untuk merebut pingat emas iaitu Clarkson Evans Tom Frankie menentang Thanasekaran Rajendran (Kedah) dalam kategori minimum 45-48 kg.
“Selain itu, Lam Wee Liang akan bertemu Hazman Iskandar Zulkifli Siew (kategori light 57-60 kg), Anderton Teck Hieng Tie (kategori welter 63.5-67 kg) dan Gideon Riquelme Jonathan (kategori middle 71-75 kg).
“Sementara dalam kategori wanita, Patricia Jaquilina Bruce (kategori minimum 45-48 kg) dan Hamiesha Hamdan (kategori feather 52-57 kg),” ujarnya.
Diminta mengulas aksi Clavia Clarlene Sudang Kennedy yang memenangi aksi separuh akhir malam tadi, Gulbudin mengakui prestasi atlet dari Sibu itu banyak peningkatan.
“Lawan beliau Nur Farzana Hudina Shahrelamdan (Negeri Sembilan). Malam tadi saya tengok banyak peningkatan berbanding kejohanan lepas terutama dari segi stamina.
“Mereke pernah bertemu sebelum ini, namun kali ini Clavia yang banyak membuat asakan.
“Saya sangat yakin beliau mampu membuat kejutan pada aksi final malam esok,” tambahnya.
Sementara itu bagi Clavia sendiri, mengakui pertarungan agak sukar.
“Namun, saya harus teruskan untuk masuk ke pusingan akhir. Syukur berjaya. Rasa gembira,” katanya yang sebelum ini pernah memenangi pingat emas semasa Kejohanan Terbuka Sarawak dan Kejohanan Sukan Tempur Kebangsaan.
Terdahulu Frederick Xian Bartholomew Albern (kategori fly (48-52 kg) mara ke final selepas menewaskan wakil Pulau Pinang Muhammad Aiman Danish Mohd Suhairi menerusi pukulan Knock Out (KO) pada minit ke 2.21 pusingan pertama.



