KUCHING: Anak muda Sarawak yang mahu menceburi bidang reka cip, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pintar kini diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada pelopor industri semikonduktor global melalui penyertaan bersama SMD Semiconductor.
Syarikat tempatan yang berpangkalan di Zon Teknologi Tinggi Samajaya itu akan tampil di Sarawak Career and Training Fair (SCaTFair) 2025 yang akan berlangsung pada 5 hingga 6 Julai ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
SMD menyeru para pelajar, graduan dan tenaga profesional yang berminat untuk menyertai mereka bagi meneroka peluang kerjaya dan latihan dalam bidang teknologi cip dan sistem pintar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shariman Jamil, SMD percaya bahawa Sarawak mampu menjadi lubuk kepada bakat teknologi yang berpotensi besar.
“Kami sedang mencari anak Sarawak yang bersedia menyahut cabaran industri semikonduktor global.
“Kami percaya dengan latihan dan pendedahan yang betul, mereka mampu pergi jauh,” katanya.
Tambah beliau, SMD bukan sekadar syarikat pengeluar teknologi tetapi sedang membina asas untuk masa depan menerusi pembinaan ‘Silicon Longhouse’ – sebuah pusat inovasi yang memadukan warisan dan kemajuan teknologi – di kawasan Samajaya.
Antara inisiatif utama syarikat itu ialah pelaksanaan Program Penguasaan Semikonduktor, iaitu latihan intensif selama enam bulan dalam bidang Reka Bentuk Litar Bersepadu Analog (Analogue IC Design) dan Kejuruteraan Pembangunan Penyelesaian Ujian IC.

Program tersebut dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) serta rakan kongsi industri dari dalam dan luar negara seperti Melexis NV (Belgium), X-Fab Sarawak (Jerman) dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
SMD turut menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi tempatan seperti Universiti Teknologi Swinburne Sarawak melalui pembangunan program pascasiswazah mikroelektronik yang menyasarkan penghasilan tenaga mahir berkemahiran tinggi.
Kesemua usaha ini merupakan sebahagian daripada sokongan terhadap visi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang mahu menjadikan Sarawak sebagai hab industri semikonduktor dan inovasi teknologi bertaraf antarabangsa.
Sementara itu, Pengerusi SMD, Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar, berkata fokus utama syarikat ialah melahirkan lebih ramai tenaga kerja tempatan yang berdaya saing dan mampu menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi digital Sarawak.
“Kita mahu anak Sarawak bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi pencipta dan penyelesai masalah kepada keperluan industri dunia,” ujarnya.
SCaTFair 2025 dijangka menarik ribuan pengunjung dari seluruh negeri dan menjadi platform terbaik untuk SMD mendekati bakat baharu, menyampaikan maklumat mengenai program latihan serta memperluas jaringan kerjasama dengan pihak industri dan akademik.



