SMK Saribas rangkul juara badminton MSSB Betong

PASUKAN Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Badminton Majlis Sukan Sekolah-sekolah Bahagian (MSSB) Betong yang berlangsung di Dewan Tan Sri Alfred Jabu, baru-baru ini.

Mereka menang dalam kategori perseorangan perempuan 15 tahun ke bawah (TKB) ketika menentang tuan rumah, SMK Saint Augustine dengan keputusan 21-3 dan 21-7.

Turut diungguli ialah kategori beregu perempuan 15 TKB yang menewaskan SMK Bahasa Malaysia (BM) Saratok dengan keputusan 22-20, 18-21 dan 21-19.

Manakala naib juara disandang oleh SMK Saratok, sementara tempat ketiga dimenangi SMK BM Saratok. Jurucakap SMK Saribas Abang Busri Abang Morni memberitahu, pihaknya mahu melihat sekurang-kurangnya satu kategori mampu ke peringkat separuh akhir pada MSS Sarawak di Kota Samarahan, 18 sehingga 21 Februari ini.

“Ini akan memudahkan mereka mendapat markah yang lebih baik dalam bidang kokurikulum,” ujarnya.

Menurutnya, enam atlet badmintom SMK Saribas dipilih untuk mewakili Bahagian Betong ke MSS Sarawak.

Kejohanan Badminton MSSB Betong turut disertai SMK Saint Augustine sebagai tuan rumah, SMK Datuk Patinggi Kedit, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Betong dan SMK Kabong.

Suara Sarawak