SIMUNJAN: SMK Sri Sadong yang menelan belanja sebanyak RM28.7 juta kini siap sepenuhnya dan sedia untuk digunakan oleh warga pendidik dan pelajar.
Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee berkata, projek pembinaan semula sekolah ini merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan disiapkan pada 16 Mei lalu.

“Dengan siapnya bangunan baharu ini, ia mampu memberi keselesaan yang lebih baik kepada para pelajar dan guru.
“Bangunan ini turut dilengkapi dengan kemudahan pembelajaran moden seperti bengkel elektronik, bengkel buatan, makmal sains, makmal komputer dan studio reka bentuk.
“Bangunan ini juga terdiri daripada pelbagai komponen utama termasuk blok akademik tiga tingkat, kantin, lima unit kuarters guru kelas F, pagar keselamatan dan pintu pagar utama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Mercy Mathematics: Klinik Penggunaan Kalkulator Peringkat Daerah Simunjan Tahun 2025 di Dewan Sri Gemilang, SMK Simunjan No. 1, semalam.
Rodiyah turut menekankan kepentingan penguasaan penggunaan kalkulator dalam kalangan pelajar sekolah menengah, khususnya menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Di samping itu, seramai 96 pelajar Tingkatan 4 dan 5 aliran Sains dan SMK Sri Sadong menerima sumbangan kalkulator saintifik.
Penceramah khas daripada pihak Casio Malaysia turut dijemput bagi meningkatkan kecekapan pelajar dalam penggunaan kalkulator saintifik.


