ARTIKEL

Premier ketika menyampaikan ucaptama pada Program Transformasi SOE Sarawak – Fasa 2 di sini, hari ini | Foto: Ramidi Subari

SOE Sarawak diunjur jana RM9.62 bilion menjelang 2030

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Syarikat Milik Kerajaan (SOE) Sarawak diunjurkan menjana RM9.62 bilion hasil tambahan menjelang 2030 menerusi pelaksanaan Fasa 2 Program Transformasi SOE Sarawak.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata selain tambahan hasil itu, inisiatif transformasi berkenaan turut berpotensi menyumbang RM1.6 bilion keuntungan selepas cukai terlaras serta kira-kira RM1.27 bilion dividen bagi tempoh 2027 hingga 2030.

“Ini adalah angka yang menggalakkan. Tetapi saya ingin jelaskan bahawa ini adalah unjuran, bukan pencapaian. Nilai sebenar bergantung kepada sejauh mana ia diterjemahkan kepada hasil,” katanya ketika berucap pada Program Transformasi SOE Sarawak – Fasa 2 di sini, hari ini.

Fasa 2 program berkenaan melibatkan 32 badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan merentasi 17 sektor, selepas Fasa 1 membabitkan 36 entiti.

Abang Johari berkata setiap entiti perlu meningkatkan prestasi berdasarkan kedudukan dan keupayaan masing-masing, dan transformasi itu tidak boleh hanya bergantung kepada beberapa entiti besar seperti Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).

“Jika anda mengenal pasti sumber hasil baharu, kejarnya. Jika anda mengenal pasti kos yang boleh dikurangkan, kurangkannya.

“Jika anda mengenal pasti aset yang boleh dikomersialkan, buka nilainya. Jika anda mengenal pasti pasaran baharu, terokainya,” tambahnya.

Beliau berkata bagi entiti berorientasikan komersial, tumpuan perlu diberikan kepada pengukuhan hasil, peningkatan produktiviti, pengurusan kos, pengoptimuman aset serta pengurangan kebergantungan yang tidak perlu kepada sokongan kerajaan.

Katanya, kemandirian kewangan bukan sekadar mencapai titik pulang modal, sebaliknya membolehkan sesebuah entiti mempunyai kekuatan kewangan untuk beroperasi, menyelenggara aset, membayar hutang, melabur bagi pertumbuhan dan, jika bersesuaian, memberi pulangan kepada pemegang saham.

Dalam pada itu, beliau berkata Fasa 2 SOE turut mengenal pasti peluang dalam sektor tenaga, logistik, penerbangan, pendidikan, pertanian, keupayaan digital, pelancongan, sumber asli dan perdagangan serantau.

“Matlamat kita adalah menukar pemilikan kerajaan kepada kelebihan daya saing, bukan perlindungan kerajaan kepada sikap selesa,” ujarnya.

Abang Johari berkata transformasi turut perlu disokong dengan pengukuhan tadbir urus, integriti, penggunaan teknologi serta kerjasama antara entiti bagi memastikan aset dan keupayaan kerajaan negeri dapat menghasilkan nilai lebih besar kepada Sarawak.

Fasa 1 sebelum ini mengunjurkan pengurangan kira-kira RM403 juta keperluan geran operasi menjelang 2030, dengan lebih 50 peratus entiti yang dinilai dijangka mencapai kemandirian kewangan.

Beliau berkata kejayaan transformasi itu akhirnya bergantung kepada pelaksanaan strategi dan inisiatif yang telah dikenal pasti, bukan sekadar dokumen perancangan.

BERITA LAIN

Anak Sarawak sumbang Rolls-Royce antik kepada Muzium

KUCHING: Seorang anak Sarawak berhasrat menyumbangkan kereta Rolls-Royce antik miliknya kepada Muzium Sarawak bagi membantu memelihara warisan sejarah dan kebudayaan negeri ini. Cadangan itu bertujuan

BERITA TERBARU

Samarahan tidak rela berputih mata

BINTULU: Skuad Samarahan bersedia mengharungi baki 90 minit aksi separuh akhir kedua menentang Bintulu di Stadium Bintulu, petang esok. Pasukan itu membawa bekalan kelebihan tiga