ARTIKEL

SOFBOL bentuk jiwa cekal

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

AKTIVITI sukan berfungsi sebagai wadah pembentukan perwatakan diri dan minda, bukan sekadar aktiviti fizikal atau hobi.

Ketahanan mental serta disiplin yang tinggi menjadi kunci utama yang membezakan kejayaan daripada kegagalan.

Husna Qariah Hamka

Husnaddin, 21, menceritakan bagaimana pelibatannya dalam sukan sofbol sejak sekolah rendah membentuk keperibadiannya menjadi lebih berdisiplin dan matang dalam menghadapi ujian hidup.

Kini menuntut di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam bidang Ekonomi Perkhidmatan, gadis yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu menyifatkan pengalamannya beraksi di padang sofbol sebagai antara kenangan paling berharga yang mencorakkan identitinya hari ini.

Pelibatannya dalam sukan itu bermula secara tidak sengaja pada 2015 ketika berusia 10 tahun dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Agama Majlis Islam Sarawak (MIS) Bintulu. Detik tersebut akhirnya memberikannya pelbagai pengajaran hidup yang bermakna.

“Saya mula menceburi sukan sofbol secara tidak sengaja ketika berada di Tahun Empat.

“Ketika itu, pihak sekolah mengadakan sesi pemilihan terbuka pada suatu petang bagi mencari calon pemain untuk pasukan sekolah.

“Didorong oleh rasa ingin tahu yang kuat serta ajakan rakan-rakan karib yang turut mendaftar, saya nekad mencuba nasib biarpun langsung tidak pernah terdedah kepada sukan tersebut atau memahami peraturannya,” kata Husna ketika dihubungi Suara Sarawak.

Keberanian mencuba sesuatu yang baharu akhirnya membuahkan hasil apabila bakatnya dikesan dan diasah oleh jurulatihnya, Cikgu Muhammad Jeffri Muhammad Nasir.

Jurulatihnya itu memainkan peranan penting dalam membantu Husna menguasai teknik asas, taktikal permainan serta membina keyakinan diri ketika beraksi.

“Cikgu Jeffri sangat sabar dan sentiasa membimbing saya dari peringkat awal tanpa jemu.

“Melihat kesungguhan saya sepanjang latihan, beliau terus memberikan dorongan moral yang memotivasikan saya untuk gigih meningkatkan prestasi tanpa berputus asa,” ujarnya lagi.

Seiring dengan peningkatan prestasinya, tanggungjawab besar mula diamanahkan kepadanya di padang apabila beliau diletakkan sebagai penjaga pangkalan ketiga (third baseman).

Dalam permainan sofbol, posisi ini dikenali sebagai antara posisi yang mencabar, berisiko tinggi dan memerlukan refleks yang pantas.

“Posisi ini antara yang paling sukar di padang kerana kawasan tersebut sering menjadi sasaran pukulan keras dan pantas daripada pihak lawan.

“Tugas saya adalah memastikan zon itu terkawal, menyekat sebarang bola leret atau ground ball ke bahagian kiri, kemudian melakukan balingan sepantas mungkin ke pangkalan pertama bagi mematikan pemain lawan,” jelasnya.

Kedudukan yang dikenali sebagai hot corner ini memerlukan ketajaman penglihatan, keberanian menghadapi bola yang dipukul kencang serta kawalan fizikal yang cekap.

Sedikit sahaja kesilapan pada saat kritical mampu memberikan kelebihan kepada pasukan lawan.

Bagaimanapun, Husna menganggap setiap tekanan dan detik cemas di pangkalan itu membawa kepuasan yang tiada tandingannya.

“Perkara paling menarik dan mendebarkan tentang posisi ini ialah rentak permainan yang sangat pantas dan sukar dijangka.

“Setiap kali bola kencang menuju ke arah saya, timbul kepuasan luar biasa apabila saya dapat menyambutnya menggunakan sarung tangan secara refleks, lalu melontarnya dengan tepat ke pangkalan pertama dalam tempoh satu atau dua saat untuk mematikan pemain lawan.

“Sorakan padu penonton serta pujian rakan sepasukan selepas berjaya mengawal zon berbahaya memberikan rasa puas dan gembira yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit,” katanya.

Sepanjang bergelar atlet sekolah, kenangan paling manis baginya ialah ketika beliau mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan Kidurong, Bintulu pada peringkat akhir Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Bintulu pada 2022.

Dalam perlawanan genting tersebut, pasukannya berdepan ujian mental apabila perlu bangkit daripada ambang kekalahan.

“Pasukan kami hampir tewas setelah ketinggalan mata pada pusingan terakhir permainan.

“Namun, berbekalkan semangat juang yang tinggi, sokongan jurulatih serta sorakan rakan-rakan di tepi padang, kami berjaya melakukan kebangkitan dramatik pada saat-saat akhir untuk meraih gelaran naib johan,” ujarnya.

Namun, di sebalik kejayaan itu, cabaran sebagai atlet muda menuntut pengorbanan besar, terutamanya dalam menguruskan masa antara pelajaran dengan latihan fizikal di bawah terik matahari.

“Cabaran terbesar saya pada usia muda ialah kekangan masa dalam menguruskan jadual harian antara akademik dengan sesi latihan fizikal yang memenatkan.

“Cuaca panas terik di padang sekolah setiap petang sangat menguji ketahanan mental dan fizikal saya.

“Namun, cabaran inilah yang mengajar saya erti pengorbanan sebenar serta kepentingan menjaga kesihatan demi mencapai matlamat,” tegasnya.

Apabila berasa gementar sebelum perlawanan, beliau mengatasinya dengan menarik nafas panjang serta melihat wajah rakan sepasukan sebagai peringatan bahawa perjuangan di padang dipikul bersama.

Pengalaman beraksi di padang sofbol akhirnya mendidiknya menjadi individu yang jauh lebih matang dalam mendepani liku-liku kehidupan.

“Antara nilai paling berharga daripada sukan sofbol yang saya pegang hingga kini ialah disiplin yang tinggi, semangat setia kawan serta sikap tidak mudah mengalah apabila berdepan dengan kegagalan.

“Sukan ini mendidik saya bahawa kesilapan di padang bukanlah penamat, sebaliknya sebahagian daripada proses pembelajaran yang penting untuk membentuk diri menjadi individu yang lebih matang dan cekal,” ulasnya.

Apabila ditanya tentang kenangan lalu, beliau menjelaskan jika diberi peluang, beliau ingin beraksi semula dalam perlawanan terdahulu bagi mengaplikasikan ilmu dan strategi baharu.

Sebelum mengakhiri perbualan, Husna menitipkan nasihat kepada generasi muda yang baru berjinak-jinak dalam sukan sofbol.

“Jangan takut melakukan kesilapan semasa latihan mahupun perlawanan. Jadikan setiap kegagalan sebagai batu loncatan untuk menjadi pemain yang lebih baik.

“Sentiasa hargai nasihat jurulatih, hormati rakan sepasukan dan nikmati setiap detik di padang kerana pengalaman inilah yang paling indah untuk dikenang,” katanya.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha