ARTIKEL

Para peserta menunjukkan sijil masing-masing selepas menamatkan Bengkel Pensijilan Pengguna SPELL Berlesen.

Sokong individu autistik dengan mendengar suara mereka

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Usaha menyokong individu autistik perlu bermula dengan mendengar suara dan pengalaman mereka, kata Persatuan Kesihatan Mental Sarawak (MHAS).

Menurut Pengerusi MHAS Cawangan Kuching, Dr Ng Boon Seng, pemahaman terhadap keperluan individu autistik tidak seharusnya dibina berdasarkan andaian, sebaliknya dengan mendengar pengalaman yang mereka lalui.

“Kita perlu mendengar suara mereka, menghormati cara mereka menggambarkan diri sendiri dan bertanya perkara yang memudahkan atau menyukarkan kehidupan seharian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas 37 peserta menamatkan Bengkel Pensijilan Pengguna SPELL Berlesen selama dua hari yang berlangsung di Kuching, semalam.

Bengkel pada 24 dan 25 September itu menghimpunkan doktor, ahli fisioterapi, ahli terapi pekerjaan, kaunselor, ahli psikologi, pendidik pendidikan khas serta ibu bapa.

Program dianjurkan MHAS dengan sokongan Kuching Autistic Association dan dibiayai menerusi Geran Intervensi Sosial Sarawak oleh Kerajaan Sarawak.

Bengkel berkenaan dikendalikan oleh Dr Zahilah Filzah Zulkifli daripada AT-Autism, dengan peserta diperkenalkan kepada kerangka SPELL yang dibangunkan oleh National Autistic Society di United Kingdom.

SPELL merangkumi lima prinsip iaitu struktur, pendekatan dan jangkaan positif, empati, rangsangan rendah serta hubungan, yang boleh digunakan untuk membantu individu autistik dalam kehidupan seharian.

Dr Ng berkata, pendekatan berkenaan boleh diterapkan dengan menerangkan perubahan rancangan, mengurangkan bunyi yang boleh menyebabkan tekanan, memberikan pilihan sebenar serta bertanya bentuk sokongan yang diperlukan di sekolah, tempat kerja atau komuniti.

“Autisme adalah sebahagian daripada neurokepelbagaian.

Individu autistik berhak mendapat penerimaan, penghormatan dan peluang yang adil sepanjang kehidupan mereka.

“Komuniti yang lebih inklusif bermula apabila kita mengambil serius pengalaman mereka dan bertindak berdasarkan perkara yang mereka sampaikan,” katanya.

Sementara itu, MHAS berharap dapat menilai penggunaan SPELL oleh peserta selepas bengkel berkenaan selain memperluaskan latihan praktikal kepada lebih banyak komuniti di Sarawak.

Dr Ng turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas sokongan terhadap program berkenaan serta menggalakkan agensi kerajaan dan syarikat menyertai usaha sama pada masa akan datang, termasuk melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

MHAS turut merakamkan penghargaan kepada Kuching Autistic Association, AT-Autism serta semua peserta atas sumbangan mereka dalam menjayakan program berkenaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Golf Senior Pacu Pelancongan Sarawak

Kejohanan Golf Amatur Senior Antarabangsa Sarawak (SISAGC) 2026 bakal kembali tahun depan selepas edisi sulungnya berjaya menghimpunkan 156 pemain dari enam negara, sekali gus membuka