Sokong supaya tidak lumpuh

KUCHING: Sebanyak 177,893 bungkusan makanan diagihkan kepada barisan hadapan dalam memerangi pandemik Covid19 sejak 24 Mac lalu di seluruh Sarawak.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pengagihan bungkusan makanan itu dikendalikan oleh 16 agensi di peringkat bahagian dan daerah di seluruh negeri.

“Malah saya turut meluluskan permohonan untuk tambahan bungkusan makanan kepada PDRM dan PGA ekoran pertambahan kakitangan yang dikerahkan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

“Keadaan ini tidak dapat dielakkan termasuk anggaran perbelanjaaan kita,” katanya kepada Suara Sarawak semalam. Menurut Fatimah, ia adalah usaha Kerajaan Sarawak untuk menghargai barisan hadapan yang memerangi wabak Covid-19.

“Selepas Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberikan lampu hijau, kementerian saya terus memulakan usaha berkenaan.

“Selain itu, kita menyediakan tempat berehat kepada kakitangan perubatan di barisan hadapan dari Hospital Umum Sarawak (HUS) di Hotel Riverside Majestic seperti yang diminta,” jelasnya.

Katanya, penyediaan bilik rehat di hotel terbabit adalah melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) Chong Estate Realty. “Sehingga Khamis lalu, sebanyak 50 bilik digunakan oleh 120 doktor, jururawat, penolong pegawai perubatan dan pemandu.

“Bagi mewakili Kerajaan Sarawak, kita amat berterima kasih dengan barisan hadapan yang memerangi wabak Covid19,” ujarnya. Beliau turut berkata, atas segala pergorbanan barisan hadapan sentiasa didoakan agar berhasil dan hanya Tuhan mampu membalasnya.

Suara Sarawak