Seorang wanita yang menjalani gaya hidup aktif, Nora Fauzi, 42, tidak pernah menyangka pada April lalu, dia menghadapi cabaran terbesar dalam hidupnya.
Pada malam 22 April, sebelah badannya tiba-tiba menjadi lemah dan tidak dapat bergerak.
Bimbang dengan keadaan tersebut, Nora segera mendapatkan rawatan di hospital dan didiagnosis mengalami strok.
Sejak itu, perjalanan hidupnya berubah. Walaupun tidak mempunyai sejarah penyakit yang serius, Nora diberi ubat tekanan darah tinggi.
Sebelum kejadian strok, dia pernah mengalami kebas pada sebelah badan pada Januari, namun masih mampu meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Apabila saya makan, rasa lain macam.
Pegang sudu pun terlepas, nak menulis pegang pen pun terlepas,” katanya.
Pada malam tersebut, sebelah kakinya juga tiba-tiba tidak dapat bergerak ketika dia ingin ke tandas, menyebabkan Nora terjatuh.
Adiknya yang cuba membantu turut perasan perubahan ketara terhadap Nora.
DISAHKAN HIDAP STROK
Mereka segera membawanya ke Borneo Medical Centre dan disahkan mengalami strok serta dimasukkan ke hospital selama dua minggu.
Selepas keluar dari hospital pada 5 Mei, Nora memulakan sesi terapi pada 7 Mei, setiap dari Isnin hingga Jumaat.
Dia menjalani terapi intensif dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Proses pemulihan bukanlah mudah, tetapi Nora tidak pernah berputus asa.
Dalam tempoh tiga bulan, dia mula melihat kemajuan pada tangan dan kaki.
“Pegang pen dah boleh menulis, genggaman pun dah ada rasa,” ujarnya dengan rasa syukur.
Walaupun kemajuan pada tangan sedikit lambat, Nora akhirnya mampu berjalan tanpa menggunakan tongkat selepas seminggu menjalani terapi.
Sokongan keluarga, terutama daripada adik-beradiknya, memainkan peranan penting dalam memulihkan semangat Nora.
“Pernah rasa putus asa dan menangis, tapi adik-beradik selalu beri semangat,” katanya.
Nora, yang merupakan anak tunggal perempuan daripada empat adik-beradik lelaki, mengakui bahawa sokongan mereka amat penting dalam perjalanannya melawan strok.
Walaupun berdepan cabaran besar, Nora tidak pernah melupakan cita-citanya untuk menamatkan pengajian.
Dia kini menuntut Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) di Universiti Utara Malaysia (UUM), mengambil Ijazah Sarjana Muda Pengurusan.
Sepanjang tempoh pengajian, majikannya sangat memahami dan memberi galakan agar dia meneruskan belajar.
“Sejak kecil memang saya mahu sambung belajar.
Saya percaya dengan ilmu, lebih senang nak dapat kerja,” jelas Nora.
Kini, Nora semakin pulih.
Meskipun perjalanannya masih belum selesai, dia mampu menjalani aktiviti harian dengan lebih baik.
“Sekarang saya boleh berjalan, walaupun dulu rasa macam mustahil,” tambahnya.
Selain terapi, Nora juga melakukan senaman sendiri di rumah.
Setiap petang, dia berjalan selama sejam, diselangi dengan menonton televisyen.
Bermula dengan 200 langkah, dia kini mampu mencapai 1,500 langkah sehari.
Walaupun tidak pernah menggemari sayur-sayuran, dia terpaksa mengubah tabiat pemakanannya demi kesihatan.
Nora kini berusaha untuk mengurangkan makanan masin dan tetap mengambil ubat tekanan darah tinggi.
Dalam menghadapi ujian besar ini, Nora juga menekankan pentingnya solat dalam hidupnya.
“Walaupun sekarang saya solat duduk, saya masih bersyukur sebab mampu sujud dan rukuk,” katanya.
Dengan sokongan doktor dan program PERKESO, Nora menerima rawatan dan terapi tanpa perlu menanggung kos rawatan yang tinggi.
Ini sangat meringankan bebannya, membolehkan dia fokus kepada pemulihan.
Nora kini bersyukur ke atas setiap kemajuan yang dicapainya.
Dengan semangat yang kuat, sokongan keluarga, dan bantuan daripada pihak perubatan, dia terus melangkah ke hadapan, yakin bahawa dia akan pulih sepenuhnya suatu hari nanti.
“Selagi kita kuat, potensi untuk sembuh sangat tinggi,” katanya penuh keyakinan.
Kisah Nora ini menjadi inspirasi kepada kita semua dengan ketabahan dan sokongan yang tepat, tiada cabaran yang tidak mampu diatasi.



