KUCHING: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu memastikan sokongan rakyat terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) diterjemahkan kepada undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.
Ketua Pergerakan Wanita PBB Datuk Seri Fatimah Abdullah menegaskan jentera wanita perlu memainkan peranan aktif dalam meningkatkan peratusan keluar mengundi bagi membantu GPS memperoleh mandat lebih besar berbanding pilihan raya lalu.
“Sokongan dan mandat besar yang diberikan kepada GPS hanya dikira berdasarkan jumlah undi yang masuk dalam peti undi.
“Jika mereka tidak keluar mengundi, sokongan itu tinggal di bibir sahaja, manis di mulut sahaja tetapi tidak dapat dikira. Sokongan mesti menjadi undi. Undi mesti masuk dalam peti undi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sarawak Kita Empun (SKE) 3.0 Zon Kuching yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof di Pusat Konvensyen Penview (PCC), Demak, di sini, hari ini.
Menurut Fatimah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, jentera parti perlu bergerak secara tersusun sebelum, semasa dan selepas pilihan raya, termasuk mendekati pengundi, memahami keperluan mereka serta menyampaikan maklumat berkaitan GPS melalui pendekatan bersemuka dan media sosial.
Kata penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat itu, jentera wanita perlu membantu pengundi menyemak lokasi dan saluran mengundi, membawa MyKad serta memahami cara menandakan kertas undi bagi mengelakkan undi rosak.
Jelasnya, setakat September 2026, Sarawak mempunyai 2,037,648 pengundi, dengan 58.2 peratus berusia bawah 46 tahun, sekali gus memerlukan pendekatan bersesuaian untuk mendekati kelompok pengundi berbeza.
Pada masa sama, Fatimah turut menegaskan bahawa khidmat kepada rakyat tidak seharusnya terhenti selepas pilihan raya, sebaliknya perlu diteruskan bagi membina kepercayaan dan mengekalkan sokongan.
“Inisiatif Kamek Prihatin antara usaha mendekati masyarakat melalui penyampaian maklumat mengenai bantuan kebajikan, pemeriksaan kesihatan, peluang pekerjaan dan perkhidmatan agensi kerajaan,” ujarnya.





