ARTIKEL

Sarawak selektif terima pelaburan pusat data, utamakan peluang kerja

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Potensi Sarawak sebagai destinasi pelaburan teknologi tinggi terus mendapat perhatian antarabangsa apabila wakil pengurus dana kekayaan berdaulat daripada Kanada dan China mengadakan pertemuan dengan Premier bagi meneroka pembangunan pusat data.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata wakil kedua-dua dana berkenaan bertemu dengannya pada pagi Jumaat bagi membincangkan peluang pelaburan dalam sektor pusat data.

Menurut beliau, pertemuan itu turut membuka ruang penerokaan terhadap sektor teknologi tinggi dan industri generasi baharu di Sarawak.

“Hari ini (Jumaat), ada orang yang mengurus dana kekayaan berdaulat Kanada manakala satu lagi dari China, datang bertemu saya pagi tadi untuk meneroka peluang dalam sektor pusat data.

“Saya menjelaskan bahawa Sarawak sangat selektif dalam menerima pelaburan pusat data dengan syarat pelaburan tersebut mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Apresiasi Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty) 2026 serta Majlis Pelancaran Strategi Net Zero dan Pelan Karbon Sarawak di sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Abang Johari berkata wakil pelabur terbabit turut memaklumkan bahawa mereka telah menjalankan kajian mengenai Sarawak sebelum mengadakan pertemuan dengannya.

“Kajian berkenaan turut merangkumi penilaian terhadap asas pembangunan dan potensi yang tersedia di negeri ini.

“Selain pembangunan pusat data, mereka turut meneroka peluang untuk melabur dalam sektor teknologi tinggi dan industri generasi baharu,” ujarnya.

Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan peluang pelaburan Sarawak turut diteroka dalam sektor industri baharu, selain mengambil kira potensi pembangunan ekonomi negeri.

“Bagaimanapun, setiap pilihan pembangunan perlu mengambil kira keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan pemeliharaan alam semula jadi.

“Pilihan yang kita buat mestilah dirangka supaya terdapat keseimbangan antara pembangunan dengan pemeliharaan alam semula jadi,” katanya.

Menurut beliau, keseimbangan itu penting bagi memastikan kemasukan pelaburan dan perkembangan industri tidak menjejaskan kelestarian alam sekitar, sebaliknya menyokong pembangunan yang memberi manfaat jangka panjang kepada Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU