Sokongan padu suntik semangat SK Sarikei galas cabaran getir peringkat kebangsaan

SARIKEI: Kejayaan Sekolah Kebangsaan (SK) Sarikei mewakili Sarawak dalam pertandingan Patrol Denggi Peringkat Kebangsaan satu kebanggaan bagi seluruh penduduk daerah ini.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, SK Sarikei membuktikan mereka juga mampu bersaing dengan sekolah lain dan melakukan usaha terbaik dalam misi mengharumkan nama Sarawak.

Sambil menyatakan rasa bangga terhadap kejayaan sekolah itu, beliau mahu penduduk Sarikei memberikan sokongan penuh terhadap semua aktiviti yang dilaksanakan SK Sarikei bagi memastikan mereka mendapat johan di peringkat kebangsaan kelak.

“Sudah pasti kejayaan mereka nanti memberi impak besar kepada Sarawak amnya dan Sarikei khasnya.

“Bagaimanapun, selari dengan visi pertandingan ini, saya menggesa pihak sekolah agar terus mempraktikkan amalan bersih bagi menyediakan persekitaran menimba ilmu yang selamat dan selesa,” katanya pada majlis perasmian RIMUP X Pelancaran Patrol Denggi Sekolah Kebangsaan (SK) Sarikei Peringkat Kebangsaan, di sini, semalam.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang berkata, sekolah Cina adalah contoh terbaik dalam aspek pengumpulan dana kerana mampu melaksanakan aktiviti dan membina prasarana sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.

Menurutnya kejayaan itu bertitik tolak daripada semangat kerjasama selain sokongan padu masyarakat setempat.

Walaupun tidak mempunyai peruntukan besar daripada kerajaan katanya, pentadbiran sekolah berkenaan membuktikan mereka mampu melakukan sesuatu melalui permuafakatan.

“Ini lah satu nilai kerjasama yang harus diteladani dan dipelajari bagaimana kita dapat menyediakan prasana dan menganjurkan aktiviti tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak kerajaan.

“Sehubungan itu, saya juga berterima kasih kepada pihak Sekolah RIMUP iaitu SK Abang Haji Matahir Sarikei dan SK Methodist Anglo Chinese yang terlibat secara langsung membantu SK Sarikei menjayakan majlis ini. Kerjasama semua pihak membuktikan perpaduan kaum tidak mengira bangsa dan agama diamalkan dalam kalangan rakyat Sarikei,” ujarnya.

Len Talif bersama guru dan murid SK Sarikei pada majlis perasmian RIMUP X Pelancaran Patrol Denggi Sekolah Kebangsaan (SK) Sarikei Peringkat Kebangsaan.
Len Talif (dua kiri) menyempurnakan perasmian RIMUP X Pelancaran Patrol Denggi Sekolah Kebangsaan (SK) Sarikei Peringkat Kebangsaan sambil diperhatikan tetamu yang lain.