Apabila helaian songket berusia seabad dipadukan dengan sentuhan imaginasi kontemporari, ia bukan sekadar peragaan busana, tetapi naskhah sejarah yang dihidupkan semula di pentas peragaan.
Itulah keistimewaan yang dibawakan oleh Nurul Supardi atau lebih dikenali sebagai HERA, seorang pereka fesyen kelahiran Kuching yang mencuri tumpuan dalam acara berprestij Nuansa Seni 2026 di Hotel Waterfront baru-baru ini.
Wanita berusia 40 tahun yang juga pemilik perniagaan tersebut berjaya menterjemahkan warisan keluarganya menerusi koleksi yang mengangkat tema moden kontemporari.
Koleksi itu sekali gus membuktikan seni tradisional Melayu Sarawak mempunyai nilai estetika yang tidak lapuk ditelan zaman walaupun telah menjangkau usia lebih seratus tahun.
Inspirasi utama koleksi kali ini tercetus daripada sehelai songket milik neneknya yang berusia kira-kira 100 tahun, yang pada awalnya tidak disangka sebagai artifak yang sangat bernilai.
HERA menceritakan songket tersebut merupakan persalinan perkahwinan nenek sebelah bapanya dan ketulenannya hanya disahkan selepas beliau membawanya kepada pakar di Maskota by Seri Gedong.
“Songket ini ialah simbol keanggunan wanita bangsawan Sarawak pada zaman dahulu yang penuh dengan adab serta kaya dengan warisan budaya.
“Tanggungjawab saya ialah memastikan roh warisan ini dapat dirasai oleh generasi hari ini melalui rekaan yang lebih segar dan relevan,” ujarnya ketika ditemu bual oleh Suara Sarawak baru-baru ini.
Bagi merealisasikan visi tersebut, HERA memilih model dan ratu cantik terkenal, Qamarina Syafira, sebagai wajah utama untuk menggayakan busana ikonik itu.
Pemilihannya bukan sekadar berdasarkan populariti, tetapi juga faktor teknikal apabila ukuran badan model tersebut hampir menyamai ukuran asal busana songket milik neneknya, sekali gus menjadikannya individu paling sesuai untuk menghidupkan semula busana bersejarah itu.
HERA percaya pengaruh ratu cantik amat besar dalam meningkatkan keyakinan pelanggan serta mengangkat imej jenama tempatan di mata penaja dan khalayak umum.
Namun begitu, beliau tetap menegaskan kualiti dan identiti jenama merupakan teras utama untuk kekal relevan dalam industri yang kompetitif ini.
Proses menghasilkan lapan pasang busana dalam tempoh sebulan merupakan cabaran fizikal dan mental yang luar biasa buat pasukan HERA, lebih-lebih lagi apabila beliau baru sahaja menyiapkan koleksi musim perayaan sebelum menerima jemputan daripada pengasas Nuansa Seni, Dr Anna Sue.
Cabaran terbesar ialah kekangan masa untuk menghasilkan busana yang sempurna apabila pasukan produksinya terpaksa menggandakan kelajuan kerja bagi menyiapkan rekaan yang sepatutnya mengambil masa tiga hari dalam tempoh hanya sehari.
Walaupun terpaksa bekerja di bawah tekanan, HERA tetap teliti dalam pemilihan palet warna yang menampilkan rona coklat mewah seperti coklat pekat (deep rich brown), moka (mocha) dan coklat unta (camel brown), yang dipadukan dengan material eksklusif seperti satin duchess, satin twil dan organza.
Keunikan koleksi ini turut terserlah menerusi inovasi teknikal apabila HERA menggabungkan teknik tenunan songket asli, jahitan mesin serta teknik cetakan motif songket pada fabrik bagi menghasilkan tekstur yang pelbagai.
Sebagai pereka, beliau tidak mengehadkan inspirasinya kepada ikon fesyen sedia ada semata-mata. Sebaliknya, beliau banyak mengambil ilham daripada cerita dongeng, keindahan alam semula jadi dan emosi semasa dalam setiap cetusan idea kreatifnya.
Beliau melihat fesyen sebagai medium yang luas, iaitu elemen budaya Sarawak boleh diterapkan dalam pelbagai pendekatan moden tanpa menghilangkan identiti asal yang menjadi akar tunjang sesuatu rekaan.
Menyentuh soal kelestarian warisan, HERA menekankan bahawa generasi muda memegang peranan penting dalam memastikan songket terus dihargai, bukan sekadar dengan memakainya, tetapi juga mempromosikannya secara kreatif menerusi media sosial.
“Jika songket lama ini boleh berkata-kata, mesej terpenting yang ingin disampaikan ialah tentang masyarakat Melayu yang kaya dengan nilai kesabaran dan kelembutan seni.
“Setiap motif dan tenunan melambangkan maruah, sejarah dan keindahan budaya Melayu yang perlu terus dihargai oleh masyarakat dunia pada hari ini,” jelasnya yang kini menguruskan butik dan produksi di Bormill Estate, Kuching serta Hextar Mall Empire City, Kota Damansara.
Kembara seninya yang bermula sejak 2014 sebagai pengedar jenama lain sebelum melahirkan jenama sendiri, ND Inspiration, pada 2017 yang kini dikenali sebagai HERA, merupakan perjalanan panjang yang penuh dengan dedikasi.
Beliau mempunyai impian besar untuk melihat jenama HERA dikenali di persada fesyen antarabangsa dan berharap agar legasi perniagaannya dapat terus bertahan untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Dengan semangat yang kental dan rasa cinta yang mendalam terhadap budaya Sarawak, HERA terus membuktikan masa depan fesyen tempatan terletak pada keupayaan masyarakat menghargai serta menginovasi khazanah silam demi tatapan generasi masa hadapan.



