KEMENANGAN pelakon Sophia Albarakbah dalam majlis anugerah baru-baru ini bertukar menjadi tekanan emosi apabila dia menjadi mangsa serangan melampau di media sosial.
Peguamnya, Aizat Azam berkata, detik manis itu sepatutnya diraikan selepas menerima sokongan padu daripada peminat, namun segalanya berubah dalam tempoh kurang 24 jam.
“Apa-apa yang diluahkan oleh anak guam saya, Sophia, sepatutnya pada malam itu menjadi malam kemenangan yang patut dinikmatinya.
“Dia bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang mengundi sehingga dia menang, tetapi dia tidak sangka momen itu tidak dapat dinikmati walaupun sehari,” katanya memetik portal hiburan.
Aizat berkata demikian ketika ditemui di hadapan Balai Polis Travers, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurutnya, Sophia pulang ke rumah dengan penuh kegembiraan, namun segalanya berubah apabila dia mula menerima komen dan hantaran negatif daripada portal serta orang ramai.
“Daripada malam dinobatkan sebagai pemenang sehinggalah sampai ke rumah, rasa gembira itu masih ada sehingga dia mula membaca komen di Instagram dan melihat hantaran netizen.
Dari situlah tekanan mula datang,” jelasnya.
Meskipun Sophia masih mampu menahan emosi ketika berdepan kritikan umum, Aizat menegaskan serangan kali ini berada pada tahap yang tidak wajar.
“Kritikan biasa adalah normal untuk selebriti, tetapi apabila lambakan DM terlalu berlebihan seperti mesej lucah secara terang-terangan, ia sudah melampau dan memberi kesan kepada emosi serta mental anak guam saya,” ujarnya.
Terdahulu, Aizat mengesahkan bahawa satu laporan polis telah dibuat berhubung siri serangan digital yang melampau susulan kemenangan Sophia di majlis anugerah berkenaan



