Sophia kini di Kuching

KUCHING: Terima kasih kepada Serba Dinamik kerana berusaha untuk membawa robot teknologi Kecerdasan Buatan (AI) iaitu Sophia ke Kuching, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut Karim, bukan mudah untuk membawa robot Sophia sudah diketahui merupakan selebriti dikenali seluruh dunia.

“Saya dapati ramai penduduk Kuching teruja dengan kehadiran robot Sophia terutamanya peminat robotik,” ujar Karim.

“Sarawak Beyond Paradigm Summit merupakan satu seminar yang menunjukkan satu transformasi dalam dunia digital terutama perkembangan teknologi AI,” jelas Karim.

Tambah Karim, teknologi AI memainkan peranan penting untuk setiap industri dalam perkembangan ekonomi digital.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Sarawak Beyond Paradigm Summit di Hotel Pullman, di sini, semalam.

Karim berkata kerajaan Sarawak sentiasa memberi penekanan yang mendalam terhadap ekonomi digital bukan sahaja di bandar malah di luar bandar.

“Saya percaya dengan minat mendalam dan sokongan daripada pelbagai pihak mampu membawa ekonomi digital ke arah lebih jauh,” ujar Karim.

Jelas Karim, China pada satu ketika dahulu merupakan negara yang mundur dan sekarang mereka telah jauh lebih maju dengan perkembangan digital ekonomi.

“Ini kerana minat rakyat mereka untuk melibatkan diri dalam memajukan ekonomi digital di China sehingga mampu mencapai tahap yang lebih jauh,” kata Karim.

Sementara itu guru Sains SK Merpati Jepang Kuching Rokiah Bujang berkata, seramai 30 murid sekolahnya teruja untuk menemui Sophia.

“Mereka bertuah kerana dapat melihat dan mendekati Sophia dari dekat. Malah mereka berpeluang untuk berkomunikasi dengan Sophia,” katanya.

Rokiah berkata, pada masa akan datang jika ada pameran Sains dan teknologi seperti itu, beliau sedia membawa pelajarnya untuk turut serta.

Sophia yang mengenakan baju kebaya putih dan berkain corak batik itu antara pameran teknologi canggih yang merangkumi idea teras mengenai pendigitalan dan pertukaran data, sejajar dengan Revolusi Industri 4.0.