KUCHING: Kejayaan Bintulu merangkul kejuaraan Piala Premier Sarawak 2026 baru-baru ini bukan sahaja mencipta sejarah, malah menjadi simbol perancangan rapi, kesatuan pasukan dan kepimpinan berwawasan dalam badan induk, Persatuan Bola Sepak Bahagian Bintulu (BIFA).
Semangat berpasukan menjadi nadi kejayaan bermakna buat Bintulu musim ini. Namun, tanpa strategi tersusun dan hala tuju jelas di belakang tabir, kejayaan ini sukar dicapai secara konsisten.
Yang penting, kejayaan ini tidak harus mengundang rasa cepat berpuas hati. Aras baharu telah ditetapkan dan cabaran akan datang pasti lebih besar.
Arkitek kejayaan skuad Bintulu musim ini ialah Presiden BIFA, Haji Sophie Haji Shariee. Sumbangannya dalam memacu kegemilangan bola sepak Bintulu tidak dapat disangkal. Beliau konsisten merangka perancangan strategik sehingga membuahkan hasil bersejarah buat Bintulu.
Perkara itu terbukti apabila skuad Bintulu berjaya meraih kejuaraan bersejarah. Di bawah kepimpinan beliau sebagai Presiden BIFA, pasukan Bintulu melakar sejarah apabila muncul juara edisi sulung Piala Premier Sarawak 2025 pada 15 Februari selepas menewaskan Samarahan 3-1 dalam aksi final di Stadium Negeri Sarawak, Petra Jaya.
Sebelum itu, pasukan Bintulu turut muncul juara Zon Utara Liga Premier Sarawak 2026.
Sementara itu, kepimpinan beliau di peringkat negeri turut terserlah apabila beliau merupakan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) bagi penggal 2025–2027. Hal ini membuktikan pengaruh dan kredibiliti beliau bukan sahaja di peringkat bahagian, malah merangkumi seluruh Sarawak.
Dalam penganjuran beberapa kejohanan berprestij di Bintulu, beliau menjadi tulang belakang kepada Piala Presiden BIFA yang kini memasuki edisi ketiga pada 2026. Kejohanan ini menjadi platform utama untuk mencungkil bakat baharu serta meningkatkan daya saing kelab tempatan.
Di peringkat akar umbi, komitmen terhadap pembangunan bola sepak turut menjadi keutamaan. Penglibatan kelab tempatan dan pembangunan bakat muda memastikan ekosistem bola sepak Bintulu sentiasa mempunyai pelapis berkualiti untuk bersaing di pentas lebih tinggi.
Ketegasan dan komitmen beliau dalam menjaga kebajikan serta prestasi pemain menjadi antara faktor Bintulu kini digeruni dalam kancah bola sepak Sarawak.
Kejayaan ini bukan penamat, sebaliknya permulaan kepada era baharu bola sepak di Bintulu.



