ARTIKEL

Karim ditemui pemberita selepas menyempurnakan Perarakan Kucing sempena KICF 2025 di Tebingan Kuching, malam tadi.

Sorakan gemuruh iringi 44 kucing beraksi di Tebingan Kuching

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Festival Kucing Antarabangsa Kuching (KICF) dicadangkan untuk dianjurkan secara tahunan atau dua kali setahun (biannually) susulan sambutan hangat daripada pengunjung tempatan dan global.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan terhadap KICF 2025 amat menggalakkan, malah ia merupakan kali pertama diadakan pada skala besar sehingga mencapai tahap antarabangsa.

“Bagi saya sendiri, ini kali pertama saya menyaksikan penganjuran seperti ini di Kuching pada skala besar dengan penglibatan juri antarabangsa, sedangkan sebelum ini terdapat pertunjukan atau pertandingan kucing yang diadakan pada peringkat kecil.

“Melihat sambutan orang ramai, saya percaya penganjuran seperti ini wajar diadakan setiap tahun atau dua tahun sekali.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada inisiatif pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) selaku penganjur acara,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Perarakan Kucing sempena KICF 2025 di Tebingan Kuching, malam tadi.

Karim turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada DBKU kerana berjaya membawa Perarakan Kucing secara langsung serta KICF 2025 itu ke bandar raya Kuching.

“Peserta yang menyertai perarakan itu juga bukan sahaja dari Kuching, malah dari bahagian lain di Sarawak yang menandakan sambutan positif.

“Ini sesuatu yang sangat positif dan kami pasti akan menyokong sekiranya DBKU mahu menganjurkannya lagi pada masa hadapan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Perarakan Kucing menampilkan 44 ekor kucing pelbagai baka termasuk baka tempatan dan antarabangsa dengan pelbagai kostum kreatif, memperlihatkan keunikan serta keistimewaan setiap kucing.

Kucing-kucing bersama pemiliknya turut beraksi di pentas peragaan dengan gelagat comel dan personaliti tersendiri, sekali gus mencuri perhatian serta menerima sorakan gemuruh daripada para pengunjung.

Acara penuh warna-warni ini merupakan sebahagian daripada usaha DBKU mempromosikan identiti Kuching sebagai ‘City of Cats’.

Dengan penyertaan yang memberangsangkan serta sambutan hangat daripada pencinta haiwan, khususnya pencinta kucing, KICF 2025 diyakini menjadi platform terbaik untuk meraikan kasih sayang terhadap haiwan peliharaan dalam suasana meriah, kreatif dan penuh keterujaan.

BERITA LAIN

Maklumat dasar kerajaan perlu sampai ke akar umbi

BINTULU: Penyampaian maklumat mengenai dasar, inisiatif pembangunan dan bantuan kerajaan perlu diperluas hingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan rakyat mengetahui serta dapat memanfaatkan kemudahan

BERITA TERBARU