ARTIKEL

WANTAN rangup yang dijual di booth Wantan Marsya, disajikan bersama- sama sos istimewa pilihan pelanggan.

SOS WANTAN jadi rezeki

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Di sebalik hiruk-pikuk di Uptown Metro City, aroma wantan rangup bersama sos pedas buatan sendiri sering menarik perhatian pengunjung.

Tidak ramai yang tahu, di sebalik jenama Wantan Marsya yang kini semakin dikenali, tersimpan kisah perjuangan keluarga yang bermula dari dapur rumah ketika dunia sedang diuji oleh pandemik.

Bermula sebagai usaha kecil kini berkembang menjadi perniagaan yang memberi inspirasi kepada ramai.

Nur Marsya Najwa kini menjadi tonggak utama di sebalik Wantan Marsya.

Seperti kebanyakan peniaga kecil yang lain, kehidupannya turut terkesan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 2020.

Sebelum menceburi dunia makanan, keluarga Marsya mengusahakan perniagaan mesin permainan.

Namun, apabila perniagaan itu terpaksa dihentikan sementara, mereka mula mencari alternatif demi kelangsungan hidup.

“Ketika PKP, memang banyak perkara terhenti. Jadi kami cuba-cuba membuat sos wantan sendiri di rumah,” kongsinya. Yang bermula sebagai eksperimen kecil akhirnya membuka jalan rezeki baharu.

Sos yang dihasilkan secara buatan sendiri itu diuji terlebih dahulu dalam kalangan ahli keluarga.

Daripada satu percubaan kepada satu percubaan, resipi diolah sehingga memperoleh rasa yang memuaskan.

Bagi Marsya, perasaan ingin menjual wantan semata-mata tidak mencukupi.

Beliau menekankan sos ialah identiti utama produknya.

Sos wantan buatan sendiri menjadi nadi kepada perniagaan ini.

Ia dihasilkan melalui proses yang teliti dan memakan masa antara lima hingga enam jam bagi memastikan rasa dan teksturnya benar-benar sebati. “Kami memang menjaga kualiti sos dengan sebaik-baiknya. Semuanya dibuat sendiri. Jika rasa tidak sama, kami tidak akan menjualnya,” katanya.

Selepas PKP berakhir, Marsya mula menjual wantan secara kecil-kecilan dari rumah.

Sambutan yang diterima memberikan keyakinan untuk melangkah lebih jauh.

Dalam pada itu, Wantan Marsya berniaga di Uptown Metro City empat hari seminggu, selain turut beroperasi di beberapa lokasi lain.

Dalam sehari, jualan boleh mencecah sehingga 300 unit, bergantung pada sambutan pelanggan.

Menariknya, Wantan Marsya bukan sahaja menawarkan wantan, sebaliknya menyediakan pelbagai pilihan menu yang boleh dinikmati bersama sos.

Antara pilihan sos yang ditawarkan termasuk sos wantan, sos kicap, sos bawang putih dan sos nachos.

Namun, sos wantan kekal sebagai pilihan paling laris dalam kalangan pelanggan.

“Sos yang paling ramai orang cari ialah sos wantan berbanding sos-sos yang lain,” jelas Marsya.

Selain rasa yang enak, pengalaman pelanggan turut menjadi keutamaan.

Beberapa pelanggan yang datang berkali-kali sering memuji keaslian rasa serta kelembutan kulit wantan yang rangup di luar tetapi lembut di dalam.

Ada juga yang datang semata-mata untuk membeli sos bagi dicampurkan dengan masakan di rumah.

Bagi Marsya, seperti mana-mana perniagaan makanan, cabaran tetap ada.

Antara cabaran terbesar ialah memastikan rasa sos yang dihasilkan sentiasa konsisten.

Pernah juga berlaku keadaan sos terlalu pedas atau hangus ketika proses penyediaan.

Selain itu, maklum balas pelanggan turut menjadi asam garam perniagaan. “Ada yang memberikan komen sos terlalu pedas, ada yang mengatakan terlalu cair. Semua itu kami ambil sebagai teguran untuk penambahbaikan,” katanya.

Bagi Marsya, setiap maklum balas pelanggan merupakan ruang pembelajaran.

Beliau percaya kritikan yang diterima secara berhemah tidak seharusnya dijadikan isu besar, apatah lagi ditularkan, sebaliknya dijadikan panduan untuk meningkatkan kualiti produk. “Jika kita mendengar pelanggan, mereka sebenarnya mahu kita berjaya,” tambahnya.

Dalam keadaan kos bahan mentah yang semakin meningkat, Wantan Marsya memilih untuk mengekalkan harga jualan seperti pada peringkat awal perniagaan.

Jika terdapat kenaikan, ia dilakukan secara minimum agar pelanggan tidak terbeban.

“Kami cuba mengekalkan harga sedaya mungkin. Jika naik pun, sedikit sahaja. Kami faham ramai orang masih berjimat cermat,” ujarnya.

Walaupun bermula secara kecil-kecilan, Wantan Marsya kini diusahakan bersama-sama keluarga Marsya, sekali gus menjadi contoh perniagaan keluarga mampu berkembang secara harmoni dan produktif.

Yang bermula dari dapur rumah kini berkembang menjadi perniagaan yang memberi peluang pekerjaan kepada beberapa pembantu sambilan.

Selain itu, perniagaan ini turut menjadi inspirasi kepada peniaga muda lain yang berdepan cabaran pandemik dan kesukaran ekonomi.

Wantan Marsya membuktikan kreativiti, sabar dan ketekunan mampu mencipta peluang walaupun dalam situasi paling mencabar.

Marsya berharap suatu hari nanti perniagaannya bukan sahaja dikenali di Uptown Metro City, malah di banyak tempat lain.

Beliau berharap sos buatan sendiri itu menjadi simbol rasa tradisi yang mampu bersaing dengan produk komersial lain tanpa mengorbankan kualiti dan keaslian rasa.

“Bagi saya, setiap hidangan yang kami buat, kami mahu pelanggan merasai kasih sayang dan usaha kami di dalamnya.

Itulah yang membuatkan mereka datang kembali,” ujarnya.

Di sebalik aroma pedas dan rangup wantan itu, terselit kisah ketekunan, kreativiti dan kasih sayang sebuah keluarga yang berjaya mengubah cabaran menjadi peluang.

Wantan Marsya bukan sekadar jenama makanan, sebaliknya simbol perjuangan dan inspirasi bagi mereka yang berani bermula dari bawah.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU