ARTIKEL

SHAMSIDA MALUDIN.

SOTONG MERAH Pulau Bruit laris

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Melihat sotong merah terhidang di atas meja ketika musim perayaan sememangnya membangkitkan selera. Setiap kunyahan menyajikan rasa yang kaya dengan aroma laut yang segar, digabungkan dengan keseimbangan pedas dan manis yang menyatu sempurna di lidah.  

Teksturnya yang kenyal tetapi lembut menjadikan hidangan ini bukan sekadar enak dinikmati, malah meninggalkan pengalaman rasa yang sukar dilupakan.

Tidak hairanlah sotong merah, atau lebih dikenali sebagai sotong T20 dalam kalangan penggemar makanan, sering menjadi pilihan istimewa dalam majlis keraian dan jamuan keluarga, termasuklah ketika musim perayaan.

Di sebalik keenakan itu terserlah kisah kegigihan seorang usahawan wanita, anak jati Kampung Betanak, Daro, Pulau Bruit, Shamsida Maludin, 48 tahun.

Berkelulusan Sarjana Sains dalam Kejururawatan, beliau membuktikan latar belakang profesional bukan penghalang untuk menceburi bidang keusahawanan makanan.

Perjalanan menghasilkan sotong merah bermula pada Julai 2025 melalui beberapa percubaan yang tidak menjadi sebelum akhirnya menemui resipi terbaik.

“Pada peringkat awal memang ada yang tidak menjadi. Rasanya belum seimbang, teksturnya terlalu liat. Tetapi saya tidak putus asa.

“Saya cuba lagi sehingga akhirnya mendapat resipi yang benar-benar menepati cita rasa yang saya mahukan,” katanya kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Menurut beliau, sambutan terhadap sotong merah buatan sendiri meningkat dengan ketara menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Tempahan pada musim perayaan boleh mencecah antara 600 hingga 700 kilogram, sebahagian besarnya daripada rakan sekerja lama serta pelanggan tetap yang berkongsi maklumat kepada kenalan lain.

“Alhamdulillah, selepas 9 Ramadan, tempahan memang meningkat degan ketara. Ada hari saya terpaksa menutup sementara senarai tempahan kerana mahu memastikan semua pesanan dapat disiapkan dengan kualiti terbaik,” ujarnya.

Beliau mengakui rasa lembut, segar serta status produk Muslim tanpa bahan pengawet menjadi faktor utama pelanggan terus memilih sotong merah hasil keluarannya.

Bagi memastikan mutu sentiasa terpelihara, Shamsida tidak menerima tempahan melebihi kapasiti pengeluaran.

Operasi perniagaannya dibantu oleh empat hingga lima pekerja yang mengendalikan proses pembersihan, penyediaan dan pembungkusan.

“Saya memang menetapkan had. Jika terlalu banyak tempahan, kualiti boleh terjejas.

Saya lebih rela menolak secara baik daripada mengecewakan pelanggan,” jelasnya.

Menurut beliau, cabaran terbesar ialah mendapatkan bekalan sotong mentah berkualiti, terutamanya pada musim puncak.

Demi memastikan hanya bahan terbaik digunakan, beliau sanggup terbang sendiri ke Pulau Pinang untuk mendapatkan stok pilihan.

“Saya mahu melihat sendiri kualiti sotong mentah yang dibeli. Kepuasan pelanggan bergantung kepada kesegaran bahan asas,” katanya lagi.

Menariknya, pembekal sotong kering di Pulau Pinang yang menjadi sumber bahan mentahnya turut membeli semula sotong merah yang siap diproses.

Situasi ini secara tidak langsung menjadi pengiktirafan terhadap mutu produk yang dihasilkan.

Selain jualan dalam kuantiti besar untuk hidangan keluarga, Shamsida turut menerima tempahan saiz kecil sebagai cenderamata untuk majlis perkahwinan, khatam al-Quran, sambutan Tahun Baharu Cina serta majlis sekolah.

“Saya tidak sangka sotong merah boleh dijadikan cenderamata.

Tetapi pelanggan mahukan sesuatu yang unik dan boleh dimakan terus, jadi saya sediakan dalam pek kecil yang lebih praktikal,” katanya.

Dari segi harga, beliau menawarkan kadar istimewa sempena musim perayaan iaitu RM50 bagi setiap 500 gram, berbanding RM55 pada hari biasa, tidak termasuk kos penghantaran. Strategi pemasaran pula tertumpu kepada Facebook, WhatsApp serta jualan di bazar Ramadan.

“Saya menggunakan media sosial sepenuhnya kerana lebih mudah berhubung dengan pelanggan.

Kebanyakan tempahan datang melalui WhatsApp selepas mereka melihat promosi di Facebook,” jelasnya.

Mengulas perancangan masa depan, Shamsida berharap dapat memperluas pasaran tanpa menjejaskan kualiti yang menjadi keutamaan.

Teksturnya yang Kenyal tetapi lembut menjadikan hidangan ini bukan sekadar enak dinikmati, malah meninggalkan pengalaman rasa yang sukar dilupakan.

“Harapan saya cuma satu, biarlah perniagaan ini berkembang secara berkat dan konsisten.

Saya mahu pelanggan terus percaya sotong merah yang mereka beli sentiasa segar, lembut dan dibuat dengan penuh tanggungjawab,” katanya penuh optimis.

Dari segi harga, sotong merah ini ditawarkan pada kadar yang berpatutan mengikut kuantiti pembelian.

Bagi pek kecil seberat 100 gram, ia dijual pada harga RM10, manakala pek 500 gram pula ditawarkan pada harga RM50, khususnya sempena musim perayaan.

Penetapan harga ini mengambil kira kos bahan mentah berkualiti, proses penyediaan yang teliti serta komitmen untuk mengekalkan standard rasa dan kesegaran tanpa penggunaan bahan pengawet.

Bagi mereka yang ingin merasai sendiri keenakan sotong merah Pulau Bruit ini atau membuat tempahan untuk majlis keraian, pelanggan boleh terus menghubungi Shamsida di talian 014-6856740 atau melayari laman Facebook Mdm Sidal untuk maklumat lanjut.

Tempahan awal amat digalakkan, terutama menjelang musim perayaan bagi mengelakkan kekecewaan memandangkan permintaan yang sentiasa meningkat saban tahun.

BERITA LAIN

Rumah Oren sukar ditandingi

HEBAT dan sukar ditandingi. Demikian gambaran keunggulan kontinjen Rumah Oren apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Tambay 2026, baru-baru ini.

BERITA TERBARU

Warih Melanau juara bermukun, bawa pulang RM5,000

KUCHING: Kumpulan Warih Melanau muncul juara dalam kategori bermukun berkumpulan dan membawa pulang wang tunai RM5,000 serta trofi dan sijil pada Pertandingan Mega Gendang Melayu

Harimau Malaya B-15 terbaik ASEAN

KUCHING: Harimau Malaya Bawah 15 Tahun (B-15) muncul sebagai pasukan terbaik Asia Tenggara selepas menamatkan kempen Festival dan Piala Dunia B-15 FIFA 2026 di kedudukan