ARTIKEL

Speedy Tigers tewas lagi, peluang ke Olimpik masih samar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Peluang skuad hoki lelaki negara menamatkan kemarau 24 tahun layak ke pentas Olimpik masih samar selepas tewas 1-4 kepada Great Britain pada saingan peringkat kumpulan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Muscat, Oman awal pagi tadi.

Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut anak buah A. Arul Selvaraj di Stadium Hoki Oman itu selepas tewas kepada China 2-3 pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan A, Isnin lepas.

Turun dengan misi sukar menentang Great Britain ranking keempat dunia, skuad negara ranking ke-14 terpaksa akur dengan keampuhan jentera serangan pihak lawan yang terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi Will Calnan pada minit ke-19.

Tidak mahu membiarkan Great Britain terus tersenyum, skuad hoki negara tetap memberikan tentangan apabila berhasil menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-26.

Great Britain meraih gol kedua menerusi Sam Ward yang menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-32 sebelum Zachary Wallace meledak gol ketiga pasukan selang tujuh minit kemudian.

Bagaimanapun, Ward memastikan Great Britain sukar digugat apabila beliau menjaringkan gol keempat pasukan yang juga gol keduanya pada perlawanan itu pada minit ke-58.

Keputusan dicatat pada perlawanan awal pagi tadi itu sekali gus menyaksikan Great Britain mengungguli kedudukan kumpulan dengan enam mata, manakala China di tempat kedua berkongsi tiga mata dengan Pakistan di tempat ketiga manakala Malaysia di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Bagaimanapun, China, Pakistan dan skuad negara masing-masing berkongsi jumlah jaringan yang sama (tiga).

Speedy Tigers tidak mempunyai pilihan lain selain perlu menumpaskan Pakistan dengan jaringan besar serta mengharapkan Great Britain menumpaskan China pada perlawanan terakhir kumpulan Jumaat ini, sekali gus berada di dua kedudukan teratas kumpulan bagi melayakkan diri ke saingan separuh akhir.

Kejohanan Kelayakan Olimpik 2024, di Muscat merupakan pentas terakhir bagi semua pasukan beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan tiga pasukan terbaik kejohanan akan meraih slot ke temasya terbesar dunia itu.

LAIN-LAIN BERITA

Kesihatan Tze Yong diutamakan BAM – Norza

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil pendekatan tidak terlalu memberi tekanan kepada pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, dalam usaha mengejar slot ke

Enam perlawanan ujian awal sri kandi Sarawak

KUCHING: Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita, Suffian Ibrahim menegaskan enam perlawanan persahabatan bakal diharungi barisan pemain yang berada dalam skuad bayangan ketika ini. Tiga

BERITA TERBARU