KUCHING: Spesifikasi rumah bagi Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian perlu dinaik taraf dan ditingkatkan sesuai dengan kawasan penempatan.
ADUN Tellian Royston Valentine berkata ini kerana spesifikasi rumah PPRT yang dibina ketika ini adalah kurang memuaskan.
Jelasnya, adalah penting untuk mengubah spesifikasi rumah berkenaan dari segi meningkatkan kos pembinaan dan jenis bahan binaan yang digunakan sesuai dengan kawasan penempatan yang mungkin berada di pedalaman dan persisiran pantai.
“Justeru, saya mencadangkan agar rumah PPRT pada masa hadapan dibina dengan konsep dan kaedah yang lebih moden supaya ianya dapat bertahan dalam tempoh yang lebih lama dan selamat untuk didiami,” katanya.
Royston berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2024) 2023 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
ADUN Tellian itu turut mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk mencari penyelesaian kepada masalah pemilik rumah PPRT yang sudah meninggal dunia.
“Rumah-rumah berkenaan kebiasaannya akan terbiar usang dan rebah menyembah bumi. Ada sebahagian daripadanya diubahsuai dan dijual pula kepada orang lain.
“Kalau dilihat memang kita tidak dapat menghalang ia daripada berlaku kerana tanah adalah milik mereka, cuma rumah adalah rumah bantuan.
“Apa yang kerajaan boleh buat adalah memikirkan kaedah baru untuk mengatasi masalah ini bagi mengelakkan kerajaan mengalami kerugian yang tidak ketara,” ujarnya.



