KUCHING: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sarawak 2024 mencipta sejarah apabila direkodkan sebagai yang terbaik dengan Gred Purata Negeri (GPN) pada 4.84, sejak pelaksanaan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah sebagai subjek wajib lulus mulai 2013.
Malah, ia merupakan peningkatan sebanyak 0.08 peratus berbanding GPN 4.92 yang direkodkan pada tahun 2023, terbaik dalam tempoh 12 tahun.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn, seramai 30,341 calon merangkumi 94.11 peratus dengan syarat mesti lulus sekurang-kurangnya dua subjek wajib iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah layak mendapat sijil SPM.
“Ini sekali gus peningkatan berbanding 93.15 peratus melibatkan seramai 30,356 calon pada tahun 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman keputusan SPM 2024 bagi Sarawak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata daripada 32,239 calon sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang menduduki peperiksaan SPM 2024 di Sarawak, seramai 821 calon memperoleh keputusan semua A dalam semua mata pelajaran.
Beliau berkata dari segi prestasi mata pelajaran, sebanyak 42 daripada 79 mata pelajaran mencatatkan peningkatan, manakala tiga mata pelajaran kekal prestasi.


