ARTIKEL

Steven merakam gambar bersama calon SPM 2026 SMK Baru.

SPM bantu generasi muda bina kerjaya masa depan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu dijadikan landasan penting dalam melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan bersedia memenuhi keperluan tenaga kerja masa depan Sarawak yang semakin dipacu oleh ekonomi digital, teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga hijau.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata pencapaian cemerlang dalam SPM bukan sahaja penting dari sudut akademik, malah membuka peluang lebih luas kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian, mengikuti latihan kemahiran serta membina kerjaya pada masa hadapan.

Steven mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, merasmikan Bengkel Kecemerlangan SPM SMK Baru Tahun 2026.

Beliau berkata kejayaan tersebut memerlukan usaha yang konsisten, disiplin yang tinggi dan kesungguhan untuk terus belajar serta memperbaiki kelemahan diri.

“SPM merupakan salah satu tahap penting dalam perjalanan pendidikan seseorang pelajar.

“Keputusan yang baik dapat membuka lebih banyak peluang melanjutkan pelajaran, mengikuti latihan kemahiran serta membina kerjaya pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pegawai Tugas-Tugas Khas beliau, Steven Kong Kai Seng, sempena perasmian Bengkel Kecemerlangan SPM SMK Baru Tahun 2026 di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Menurut Tiong, bengkel berkenaan bukan sekadar program akademik biasa, sebaliknya platform bagi meningkatkan keyakinan diri pelajar, memperkukuh teknik menjawab soalan, membentuk disiplin pembelajaran dan memupuk semangat untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.

Beliau berkata Sarawak kini sedang berkembang pesat dalam bidang ekonomi digital, teknologi, AI dan tenaga hijau, justeru memerlukan generasi muda yang bukan sahaja mempunyai pencapaian akademik yang baik, malah memiliki kemahiran, kreativiti dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

“Perkembangan ini memerlukan generasi muda yang berilmu, memiliki kemahiran, daya kreativiti dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak terus memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan menerusi pelbagai inisiatif pendidikan termasuk pelaksanaan pendidikan tinggi percuma secara berperingkat serta penekanan terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kemahiran masa hadapan.

Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan anak-anak Sarawak mempunyai akses pendidikan yang lebih luas selain mampu melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan dalam landskap pekerjaan yang sentiasa berubah.

Dalam pada itu, Tiong menggesa pelajar supaya memanfaatkan sepenuhnya bengkel berkenaan dengan memberi tumpuan dalam kelas, berani bertanya dan mengenal pasti kelemahan dalam mata pelajaran yang perlu diperbaiki.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada guru-guru atas komitmen serta pengorbanan mereka dalam membimbing pelajar menjadi insan yang berilmu, berkemahiran dan berakhlak, sambil berharap bengkel itu menjadi pemangkin kepada peningkatan pencapaian akademik pelajar sekolah berkenaan.

“Semoga lebih ramai anak Sarawak terus melakar kejayaan, mengharumkan nama sekolah dan keluarga, seterusnya menyumbang kepada pembangunan Sarawak yang maju, makmur dan sejahtera,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU