KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mempercepat proses persempadanan semula bagi membolehkan laporan dibentangkan dan kawasan baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) diwartakan tanpa kelewatan.
ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin berkata, ia bagi mengelakkan spekulasi berhubung tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Jelasnya, perkara ini penting memandangkan DUN Sarawak sebelum ini meluluskan pertambahan jumlah kerusi daripada 82 kepada 99 bagi memperkukuh perwakilan rakyat di seluruh negeri.
“Proses persempadanan semula yang perlu dilaksanakan oleh SPR perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum kawasan baharu tersebut boleh dikuatkuasakan.
“Di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia, setelah SPR menyiapkan proses persempadanan semula termasuk penerbitan cadangan, bantahan awam dan siasatan tempatan, laporan akhir perlu dibentangkan di Dewan Rakyat untuk kelulusan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, ramai rakyat Sarawak tertanya-tanya sama ada PRN hanya akan diadakan selepas 17 kerusi tambahan itu diwartakan secara rasmi atau tarikh pilihan raya akan ditentukan tanpa bergantung kepada penyempurnaan proses persempadanan semula.
“Sekiranya laporan persempadanan semula dibentangkan dan diluluskan dalam sidang Parlimen akan datang, orang ramai ingin mengetahui tempoh masa yang diperlukan bagi melengkapkan langkah pentadbiran sebelum kawasan baharu itu berkuat kuasa.
“Garis masa prosedur ini juga akan mempengaruhi spekulasi sama ada PRN akan diadakan lewat tahun ini atau selepas kerusi baharu dikuatkuasakan sepenuhnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata garis masa yang jelas dan prosedur telus akan membantu mengelakkan spekulasi serta memastikan peluasan perwakilan di Sarawak dilaksanakan secara teratur dan adil.





