KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus menyegerakan proses persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Stakan, Datuk Sim Kiang Chiok berkata kali terakhir persempadanan semula kawasan DUN Sarawak dilaksanakan pada tahun 2015, menyaksikan peningkatan jumlah kerusi DUN daripada 71 kepada 82.
Katanya, di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, kajian semula sempadan pilihan raya hanya boleh dilakukan selepas tempoh tidak kurang daripada lapan tahun.
“Keluasan geografi Sarawak yang amat besar, selain kewujudan banyak komuniti luar bandar dan pedalaman yang bertaburan di kawasan mencabar, menimbulkan cabaran tersendiri kepada wakil rakyat dalam memberi perkhidmatan secara berkesan kepada kawasan masing-masing.
“Penambahan bilangan kawasan pilihan raya akan membolehkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memberi tumpuan lebih khusus kepada kawasan mereka, bertindak balas dengan lebih cekap terhadap isu setempat serta memastikan keperluan pembangunan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, dapat ditangani dengan lebih berkesan.
“Langkah ini akhirnya akan memperkukuh tadbir urus di peringkat akar umbi dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat Sarawak,” katanya.
Oleh itu, Kiang Chiok berkata inisiatif semasa ini adalah tepat pada masanya dan selaras dengan kerangka perlembagaan yang mengawal selia semakan pilihan raya.
Beliau dalam pada itu mengalu-alukan dan menyokong sepenuhnya cadangan untuk menambah bilangan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak seperti yang baru-baru ini diketengahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.
Jelasnya, cadangan ini mencerminkan aspirasi lama rakyat Borneo bahawa perwakilan politik perlu seiring dengan perubahan demografi, realiti geografi serta semangat Persekutuan.
Beliau turut menyokong gesaan supaya Sabah dan Sarawak secara bersama memegang sekurang-kurangnya 33 peratus daripada jumlah keseluruhan kerusi di Parlimen Malaysia, selaras dengan semangat dan hasrat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara dalam pembentukan Malaysia.






