KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak menahan reman enam individu yang disyaki terlibat dalam membuat tuntutan palsu berkaitan insentif Program Daya Kerjaya dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Perintah reman selama empat hari bagi tiga individu berusia 31 hingga 38 tahun, manakala tiga lagi yang berusia 36 hingga 42 tahun direman dua hari dikeluarkan oleh Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.
Permohonan reman dibuat oleh Pegawai Penyiasat SPRM Mohd Faiz Roseli bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Tiga individu terbabit diwakili peguam Ralph Lee, Benedict Bryan Khu, Jong Yee Ling, Patrick Voon, Alex Kong, Tiong Ing Neng dan Yong Suk Hui.
Manakala, tiga lagi suspek tidak diwakili peguam semasa sebutan reman hari ini.

Terdahulu media melaporkan, SPRM mengesan wujudnya penyelewengan membabitkan inisiatif kerajaan iaitu program Daya Kerjaya 2.0 yang dilaksanakan sebelum ini, dengan nilai tuntutan palsu berjumlah RM9.01 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, melalui siasatan pihaknya mengenal pasti sebanyak 143 syarikat membabitkan 320 pekerja di seluruh negara terbabit dalam penyelewengan dana kerajaan yang dikendalikan oleh PERKESO bermula 2024.
Melalui program Daya Kerjaya 2.0 ini, pihak kerajaan memberikan insentif kepada majikan dalam bentuk bayaran gaji sebanyak RM1,500 setiap bulan kepada pekerja (golongan seperti orang kurang upaya, bekas banduan dan warga emas) yang dilantik, selama enam bulan.
“Namun berdasarkan risikan awal yang dijalankan pihak kami, didapati beberapa isu dikesan dari segi pelaksanaan dan sebagainya. Antaranya kita dapati ada individu yang diisytiharkan sebagai pekerja tetapi sebenarnya dia tidak wujud,” katanya.
Tegasnya, mereka juga mengesan terdapat pekerja yang tidak memenuhi syarat tempoh minimum enam bulan pekerjaan, namun mendapat bayaran penuh dan wujudnya aktiviti penggunaan dokumen palsu bagi mendapatkan bayaran insentif tersebut.
Selain itu, pihaknya juga mengesan sebanyak 1,638 lagi syarikat yang melakukan aktiviti sama membabitkan nilai kira-kira RM45 juta, namun ia masih di peringkat awal siasatan.



