PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh keupayaan forensik digital menerusi penyertaan dalam kursus Amped Authenticate bertaraf antarabangsa di Trieste, Itali bagi menghadapi cabaran jenayah siber dan manipulasi bukti digital.
SPRM memaklumkan latihan itu bertujuan meningkatkan keupayaan Bahagian Forensik Teknologi (BFT) mengesan, menganalisis dan mengesahkan ketulenan bukti berbentuk imej, audio dan video yang disyaki telah diubah suai, dimanipulasi atau dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta deepfake.
Menurut Bernama, latihan turut meliputi analisis metadata, cap jari kamera, pengesanan suntingan imej, penilaian ketekalan fizikal dan kaedah pengesanan deepfake.
Menurut SPRM, BFT mengaplikasikan teknik forensik seperti Photo Response Non-Uniformity (PRNU), JPEG Dimples, Shadows & Reflections serta pengesanan deepfake bagi mengenal pasti secara saintifik sama ada sesuatu bahan bukti adalah asli atau telah dimanipulasi.
Laporan analisis menggunakan perisian Amped Authenticate turut diiktiraf di peringkat antarabangsa dan mematuhi standard ISO/IEC 17025 bagi makmal forensik.
SPRM berkata latihan itu membolehkan pegawai forensik memberikan keterangan pakar di mahkamah berasaskan metodologi saintifik mengikut Akta Keterangan 1950 (Akta 56), sekali gus memperkukuh integriti siasatan, pendakwaan dan melindungi kepentingan awam daripada cubaan memanipulasi bukti digital.
Kursus selama empat hari bermula 28 hingga 31 Julai lalu itu disertai Pengarah BFT SPRM Wan Zulkifli Wan Jusoh, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya Mohd Shahril Che Saad serta dua pegawai BFT, Dr Syah Reezal Md Bashah dan Muhamad Khairi Mohamad Dain.






