MUKAH: SPS Ultimate dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) ST Patrick muncul juara bagi kategori lelaki dan perempuan dalam Kejohanan Ultimate Frisbee U16 Bahagian Mukah 2025 yang berlangsung di Padang SSC Mukah, baru-baru ini.
Kategori lelaki menyaksikan Flying Ultimate dari SMK Three Rivers di tempat kedua, Black Pink Ultimate dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mukah di tempat ketiga dan Rookie Ultimate dari SMK Mukah di tempat keempat.
Bagi kategori perempuan, Flying Girl Ultimate dari SMK Mukah memenangi tempat kedua, Aero Raptors Ultimate di tempat ketiga dan Labang AI Ultimate dari SMK Agama Igan di tempat keempat.
Bagi kategori lelaki, Most Valuable Player (MVP) dimenangi Herrens Kiew Xuan Yii, Top Assist oleh Qoid Nasaruddin Herman dan Top Scorer ialah Ayden Izael Kong Pang Zheng.
Auderyna Minda Lawan memenangi MVP perempuan dan Top Assist perempuan, manakala Diana Anggut memenangi Top Scorer perempuan.
Jurulatih Utama Sukan Frisbee Sarawak, Ismandi Dillah berkata, kejohanan tersebut merupakan anjuran bersama SMK ST Patrick dan Pejabat Sukan dan Belia Mukah.
“Alhamdulillah, ia mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 10 pasukan lelaki dan tujuh pasukan perempuan melibatkan seramai 170 pemain,” katanya.
Sehubungan itu, Ismandi menzahirkan penghargaan atas sokongan dan penglibatan sekolah-sekolah yang menyertai kejohanan kali ini.
Beliau turut berterima kasih kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Mukah atas kelulusan penganjuran serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Mukah yang bekerjasama memberikan sokongan sebagai penganjur bersama.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyumbang hadiah, ibu bapa, jurulatih, guru-guru dan semua pihak yang terlibat.
Tambah Ismandi, penganjuran kejohanan ini diharap dapat mencungkil lebih ramai bakat muda dalam sukan frisbee.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengetua SMK Three Rivers, Donny Dahlan.



