ARTIKEL

SRG terus cipta sejarah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Sebuah permainan bertukar peperangan.

Sebuah impian bakal menjadi kenyataan.

Satu pasukan dengan pengalaman.

Satu pasukan dengan keazaman.

Biarkan obor terus menyala

Biarkan panji berikibar tinggi

Di sini sejarah ‘kan bakal tercipta

Biarkan bertarung sehingga mati

IKATAN kata bait-bait puisi pengulas Sunfrost, bergema di Stadium Juara, Bukit Kiara sebagai pembukaan untuk perlawanan ketujuh aksi final Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia musim ke-18.

Perlawanan melibatkan Selangor Red Giants (SRG) dan Team Rey 4-3 tersebut cukup dramatik dengan aksi penuh tujuh perlawanan.

Kali ini ceritanya berbeza. Tiada lagi kemenangan mudah 4-0 di pentas Grand Final seperti yang disaksikan dalam tiga musim sebelum ini.

Pun begitu, SRG berjaya menewaskan Team Rey 4-3, sekali gus meneruskan penguasaan di MPL Malaysia dengan menjadi juara kali keenam berturut-turut.

Akhirnya peminat kembali disajikan dengan persaingan yang lebih sengit dan mendebarkan.

Tidak ramai yang menjangkakan perlawanan akhir tersebut akan berlanjutan sehingga permainan ketujuh, sekali gus memaksa juara bertahan menunggu lebih lama sebelum dapat mengesahkan kejuaraan.

SRG terlebih dahulu berada di hadapan 1-0 sebelum Team Rey bangkit pada aksi kedua untuk mengikat kedudukan 1-1.

Apabila anak buah Michael Angelo Bocado, atau lebih dikenali sebagai Arcadia seolah-olah berada di landasan tepat untuk mencipta kejayaan, Team Rey sekali lagi mengejutkan peminat e-sukan dengan mengikat kedudukan 3-3, sekali gus mengheret perlawanan ke permainan penentuan.

Pada aksi penentuan, SRG dikatakan ‘menang draf’ apabila pemilihan hero terakhir oleh Arcadia iaitu Hilda di posisi roam berjaya mematikan perancangan Team Rey.

SRG mempertaruhkan hero Carmilla, Suyou, Zhuxin, Hilda dan Claude, manakala Team Rey memilih hero Bruno, Chou, Zetian, Nolan dan Barats.

Dominasi penuh SRG membolehkan mereka menamatkan perlawanan dalam masa kurang 14 minit.

Kejayaan itu turut menyaksikan kedua-dua pasukan mengesahkan tempat ke Kejohanan Dunia M8 yang dijadual berlangsung di Istanbul, Turkiye, tahun depan.

Sekiranya SRG menjadi kayu ukur pasukan dari Malaysia untuk bersaing di pentas antarabangsa, maka Team Rey wajar diberikan peluang kerana berjaya memberi saingan pada penta final.

Saya percaya Team Rey kini berada dalam pemerhatian pasukan lawan di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, KRAMM turut membuktikan kehebatannya di pentas Grand Final apabila dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Final MPL Malaysia musim ke-18.

Tiket M8

SRG dan Team Rey layak secara automatik ke Kejohanan Dunia M8 melalui dua slot yang disediakan untuk MPLMY — juara dan naib juara.

Juara dunia MLBB bakal membawa pulang hadiah kira-kira RM1 juta (AS$320,000).

Dalam satu kenyataan, MLBB Esports turut berkongsi bahawa jumlah keseluruhan hadiah wang terkumpul kejohanan itu adalah kira-kira RM4 juta (AS$1,000,000).

Acara Utama M8 dijadual bermula pada 2 Januari depan, manakala peringkat Wild Card akan bermula pada 17 Disember.

Walaupun hadiah terkumpul lebih kecil berbanding Piala Pertengahan Musim (MSC), namun gelaran ‘Juara dunia MLBB’ menjadi keutamaan untuk setiap pasukan MLBB.

Untuk rekod, Malaysia belum pernah menjuarai kejohanan tersebut. Diharapkan dengan penyertaan SRG dan Team Rey kali ini memberi harapan baharu buat peminat MLBB di Malaysia.

Kini, harapan pastinya terarah kepada SRG dan Team Rey untuk membawa nama Malaysia lebih jauh di pentas dunia. SRG mempunyai pengalaman, manakala Team Rey pula membuktikan bahawa mereka mampu memberikan tentangan sengit kepada pasukan terbaik negara.

Kedua-duanya mempunyai peluang untuk mencipta sejarah, asalkan persiapan dilakukan dengan teliti dan setiap kelemahan diperbaiki sebelum berangkat ke Istanbul.

Lebih penting, kejayaan SRG mempertahankan kejuaraan buat kali keenam berturut-turut dan kebangkitan Team Rey di pentas final membuktikan bahawa landskap MLBB Malaysia semakin kompetitif.

Semoga pentas M8 menjadi medan untuk pasukan negara membuktikan kemampuan sebenar, sekali gus merealisasikan impian yang sekian lama dinantikan peminat — melihat sebuah pasukan Malaysia berdiri sebagai juara dunia.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Tanggungjawab kontraktor

KONTRAKTOR tidak mendengar kata. Itulah realiti yang berlaku di lapangan. la bukan sekadar cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut. Namun, jangan salah faham. Bukan

MINTRED perkukuh infrastruktur keusahawanan Limbang

LIMBANG: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelabuhan Sarawak (MINTRED) terus memperkukuh ekosistem keusahawanan di negeri ini menerusi pembangunan Anjung Usahawan Limbang di Penapak, yang menyediakan