KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA) menjalin kerjasama untuk melaksanakan inisiatif penting ekoran insiden penemuan bangkai kucing di Kolej Kediaman Allamanda yang dilaporkan pada 18 April lepas.
Keputusan ini adalah hasil perbincangan konstruktif antara kedua-dua pihak yang juga bertukar pandangan dan membincangkan langkah proaktif yang boleh dilaksanakan bersama.

Presiden SSPCA, Datin Donna Drury Wee, menyatakan bahawa pihaknya sebelum ini juga pernah menjalinkan kerjasama dengan universiti tersebut untuk menangkap, memandulkan, dan memberi vaksin kepada anjing jalanan di dalam kawasan kampus.
Justeru, katanya, kerjasama ini akan diteruskan dan kali ini melibatkan kucing.
“Salah satu cara yang efektif untuk menghentikan peningkatan populasi haiwan jalanan seperti anjing dan kucing adalah melalui program pemandulan.
Memandangkan terdapat kes rabies melibatkan kedua-dua haiwan ini, kami melihat kepentingan untuk menyuntik vaksin kepada anjing dan kucing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media SSPCA dan UNIMAS di Dewan Serindit, Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR), UNIMAS, hari ini.
Antara inisiatif bersama yang akan dilaksanakan oleh UNIMAS dan SSPCA adalah Program “Trap-Neuter-Vaccinate-Return (TNVR)” di dalam Kampus UNIMAS untuk mengawal populasi haiwan terbiar secara berperikemanusiaan; merangka polisi dan peraturan berkaitan kewujudan bersama manusia dan haiwan di dalam kampus untuk memastikan kesejahteraan semua pihak; serta menubuhkan talian hotline bagi memudahkan pelaporan aduan mengenai kes penganiayaan haiwan dalam kampus.
Selain itu, mereka juga akan menubuhkan Persatuan Pencinta Haiwan UNIMAS sebagai platform advokasi dan pendidikan tentang kesejahteraan haiwan, serta menyediakan khidmat kaunseling kepada pelajar yang terkesan secara emosi atau psikologi akibat insiden penganiayaan haiwan.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa ramai yang mendekati SSPCA dan meminta pihaknya untuk membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.
Namun, menurutnya, mereka mengambil pendekatan untuk bertemu sendiri dengan wakil UNIMAS bagi mendapatkan maklumat terus, bukan daripada sumber ketiga.
“Semalam (21 April), kami datang ke kampus ini untuk berbincang mengenai perkara ini dan mendapatkan maklumat terus.
Kami berjumpa pelajar dan pengendali kafeteria di kolej kediaman itu.
“Perkara ini penting kerana kita tidak boleh membuat laporan polis hanya berdasarkan maklumat ketiga, kerana ia hanya membuang masa.
Oleh itu, saya ingin menasihatkan mana-mana pihak yang ingin membuat laporan polis untuk menyemak fakta terlebih dahulu dan jangan membuang masa melakukan sesuatu tanpa fakta yang tepat,” tegasnya.



