ARTIKEL

Gambar fail

SST kekal sifar, buah tempatan terus jadi pilihan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

IPOH: Langkah kerajaan mengekalkan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap buah-buahan tempatan bukan sahaja menerima sambutan baik daripada peniaga dan pengguna, malah dijangka mendorong peningkatan permintaan terhadap produk berkenaan.

Tinjauan Bernama di sekitar Tambun mendapati buah-buahan tempatan terus mendapat permintaan tinggi meskipun pada peringkat awal wujud kebimbangan susulan pelaksanaan SST secara menyeluruh bermula 1 Julai lalu.

Kadar sifar SST ke atas buah-buahan tempatan memberi kelegaan kepada peniaga dan pengguna yang khuatir terhadap potensi kenaikan harga.

Peniaga limau bali Tambun, Tan Swee Kong, 58, berkata pengecualian SST membolehkan buah-buahan tempatan ditawarkan pada harga berpatutan, sekali gus menggalakkan lebih ramai pengguna memilih hasil tempatan sebagai sebahagian daripada diet harian mereka.

“Walaupun pada mulanya ada kerisauan apabila SST diumumkan, kami lega kerana kerajaan mengekalkan pengecualian terhadap buah tempatan,” katanya.

“Sekarang ini, limau Tambun boleh didapati dengan harga promosi lima biji RM55, sedangkan sebelum ini sebiji dijual antara RM15 hingga RM20. Ini berjaya menarik lebih ramai pembeli,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Tan yang mewarisi perniagaan keluarga sejak lebih 60 tahun lalu berkata, pengecualian SST turut memberi manfaat kepada pengeluar kerana turut melibatkan barangan input seperti baja, racun dan jentera pertanian.

“Kami bukan sekadar menjual, malah turut mengusahakan kebun sendiri yang menghasilkan jambu batu, belimbing, durian dan rambutan. Ini membolehkan kami mengawal kos dan mengekalkan harga berpatutan kepada pelanggan.

“Permintaan meningkat terutama ketika hujung minggu dan cuti umum. Ramai pelanggan dari luar Perak datang ke Tambun untuk mendapatkan buah-buahan segar terus dari ladang,” jelasnya.

Sementara itu, peniaga Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) di Jalan Tambun, Law Voon Hing, 56, berkata pengecualian cukai memberi kesan langsung terhadap kestabilan harga pasaran, sekali gus menyumbang kepada keseimbangan bekalan dan permintaan.

“Setakat ini, harga kekal stabil dan itu sangat membantu. Dalam keadaan ekonomi yang perlahan, kestabilan harga penting untuk mengekalkan minat pembeli.

“Permintaan terhadap pisang, jambu batu dan betik masih ada. Cuma cabaran kami sekarang adalah memastikan bekalan mencukupi untuk menampung permintaan yang berubah mengikut musim,” katanya.

Beliau turut berharap dasar cukai sifar terhadap buah-buahan tempatan dikekalkan untuk tempoh jangka panjang bagi merangsang pertumbuhan sektor pertanian dan menyumbang kepada ekonomi negara.

Bagi pengguna, Saiful Nawwab, 62, pengecualian cukai terhadap buah-buahan tempatan disifatkan sebagai langkah tepat dan mesra rakyat, terutama dalam suasana kos sara hidup yang semakin mencabar.

Beliau berkata, buah-buahan tempatan yang sedang musim kini menjadi pilihan keluarganya seperti pisang sebagai diet harian.
“Buah-buahan ialah makanan asas yang sihat dan apabila harganya kekal mampu milik, rakyat lebih mudah mengamalkan gaya hidup sihat.

“Malah, buah import seperti epal dan oren yang turut tidak dikenakan SST juga membantu rakyat membelinya untuk dimasukkan dalam diet harian,” ujarnya. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Malcolm cadang kampus tetap Sarawak Skills di Sri Aman

SIMANGGANG: Cadangan pembinaan kampus tetap Sarawak Skills di Sri Aman dilihat mampu memperluas akses pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), selain meningkatkan peluang belia tempatan mendapatkan