ARTIKEL

Stadium jadi tong sampah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Gambar hiasan Foto: https://pixabay.com/

BARU-BARU ini, tular di laman sosial Stadium Negeri Sarawak dipenuhi sampah selepas perlawanan Kuching City FC menentang Selangor FC minggu lalu.

Rata-rata masyarakat kecewa melihat sikap penyokong bola sepak di sini melihat keadaan stadium itu yang dikatakan serupa macam tong sampah selepas perlawanan itu berlangsung.

Ternyata kesedaran anggota masyarakat dalam soal pengurusan sampah yang betul terutamanya aspek pembuangan sampah masih sangat lemah dan rendah.

Tahap kesedaran ini perlu dipertingkatkan dengan segera kerana jumlah penjanaan sisa pepejal di negara kita dilaporkan terus meningkat.

Bagi perbuatan membuang sampah dalam stadium ini, ia sudah berlarutan sekian lama dan sampai masanya ia dihentikan dengan serius supaya maruah orang kita yang sedang dicanang menuju ke tahap negara maju tidak dipertikaikan oleh orang luar.

Justeru, anggota masyarakat perlu sedar tanggungjawab masing-masing kerana isu pengurusan dan pembuangan sampah ini memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak.

Kita tidak boleh bergantung harap kepada tukang bersih semata-mata, sebaliknya anggota masyarakat yang terlibat secara langsung dalam proses pembuangan sampah ini perlu terlibat sama.

Tukang bersih ini memang diupah untuk pekerjaan seperti itu, tetapi dalam hati pekerja berkenaan terdetik satu persoalan tentang tahap disiplin rakyat Malaysia terhadap penjagaan kebersihan.

Apabila kita melihat Piala Dunia 2022 dulu, penyokong Jepun terus mencuri perhatian peminat bola sepak antarabangsa apabila mempamerkan mentaliti kelas pertama dengan membantu membersihkan venue selepas tamat perlawanan.

Sifat pembersih rakyat Jepun jelas kelihatan apabila mereka menunggu sehingga tamat perlawanan untuk mengutip sampah yang ditinggalkan penyokong di kawasan tempat duduk seperti botol minuman, kotak makanan dan lain-lain.

Mereka membawa beg sampah sendiri dan kemudiannya mengutip semula sampah yang dibuang ketika menyaksikan perlawanan.

Namun, amalan murni itu sukar dipraktikkan penyokong bola sepak di negara ini apabila sampah dibiarkan di tempat duduk penonton walaupun terdapat tong disediakan pihak penganjur.

Walaupun sudah membangun dan menuju negara maju, sikap rakyat Malaysia yang gagal mengurus sampah dengan cara yang betul memperlihatkan mereka tidak ubah seperti memiliki mentaliti rakyat kelas ketiga.

Ini adalah sikap rakyat yang membuang sampah meratarata di stadium, belum lagi bagi individu yang membuang longgokan sampah di tempat pelupusan sampah haram.

Tapak-tapak pembuangan sampah haram itu bermula daripada longgokan kecil menjadi semakin besar berikutan sudah menjadi kebiasaan orang ramai untuk melakukan pembuangan di situ.

Kawasan yang biasanya dijadikan tempat pembuangan sampah secara haram ini termasuk di kawasan tanah kosong, lorong, tempat pembuangan sampah komersial dan di sepanjang tepi jalan.

Seperti pemerhatian di kawasan Kuching, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengambil tindakan untuk memasang papan tanda ‘Dilarang membuang sampah di kawasan ini’ termasuk tertera jumlah denda yang dikenakan.

Namun, ia tidak diendahkan apabila anggota masyarakat dengan sengaja membuang sampah di kawasan dipasang papan tanda tersebut.

Bukan sahaja individu, tetapi pihak kontraktor yang membina perumahan dan sebagainya turut membuang sisa mereka si tempat pelupusan haram ini.

Justeru, PBT seperti MPP kini telah bertegas untuk mengambil tindakan undang-undang dengan masyarakat yang didapati membuang sampah di tempat pelupusan sampah haram boleh didenda hingga RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan, di bawah Undang-undang Kebersihan Pihak Berkuasa Tempatan 1999.

Justeru, budaya membuang sampah sesuka hati tidak boleh dibiarkan menjadi amalan dalam masyarakat kita.

Ini menunjukkan anggota masyarakat semakin tidak peduli mahupun takut dengan aspek amaran penguatkuasaan seperti itu.

Jika dilihat dari sudut umur negara yang sudah merdeka lebih 60 tahun serta mencapai pelbagai kemajuan ekonomi, pendidikan, teknologi dan pembangunan lain, adalah sewajarnya pemikiran dan sikap masyarakat lebih bertamadun berbanding sebelum.

Namun, yang berlaku adalah sebaliknya apabila sikap masyarakat pada hari ini dalam perihal berkaitan penjagaan kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar masih lagi mundur atau di tahap rendah berbanding masyarakat di negara maju.

Oleh itu, amalan 3R (pengurang, guna semula, kitar semula) yang masih rendah serta pembuangan sisa pepejal secara haram perlu ditangani segera dan dipraktikkan dengan sebaiknya oleh masyarakat.

Jika sikap tidak peduli dan tidak bertanggungjawab seperti ini berterusan, tidak mustahil satu hari nanti kita akan dikenali sebagai ‘negara atau negeri sampah.’

Ini tidak mustahil berlaku jika sikap degil rakyat kita tidak ditangani dengan betul bermula dari sekarang

BERITA LAIN

Ancaman halus dunia hiburan

HAMPIR semua orang mengakui kesan negatif terhadap akhlak dan tingkah laku dalam kalangan masyarakat akibat filem dan siri yang banyak memaparkan adegan ganas, seks, ekstremisme

BERITA TERBARU

Kelibat Ayu Az’zetty curi tumpuan

BINTULU: Berbekalkan latihan selama sebulan, pendatang baharu muaythai, Ayu Az’zetty Allyya Azmi, mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan menerusi tumbukan teknikal (TKO) pada hari pertama Kejohanan