KUCHING: Stadium Sarawak akan menjadi lokasi upacara pembukaan Sukan SEA 2027, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata bagi memastikan penganjuran berjalan lancar, Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan RM350 juta bagi melaksanakan upacara pembukaan serta menganjurkan 17 acara sukan yang ditugaskan kepada Sarawak.
“Upacara ini mampu menyerlahkan keupayaan negeri serta menjadi pentas mempamerkan budaya, perpaduan dan kemajuan negeri ini.
“Selain nilai simbolik, acara ini dijangka menjana manfaat sosioekonomi jangka panjang melalui sektor pelancongan, liputan media dan penglibatan komuniti, dengan penambahbaikan stadium memastikan legasi sebagai venue utama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Menurutnya, peruntukan berkenaan merangkumi inisiatif promosi, latihan dan penyelarasan untuk jawatankuasa kerja, serta penyediaan peralatan sukan yang memenuhi piawaian teknikal Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) bagi memastikan temasya dianjurkan pada tahap tertinggi.
Pada 28 Ogos 2024, katanya, Jemaah Menteri Persekutuan secara rasmi meluluskan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 pada 2027.
“Keputusan bersejarah ini menandakan kali pertama temasya berprestij itu dianjurkan bersama oleh Sarawak, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.
“Sarawak diberikan tanggungjawab menjadi tuan rumah kepada 17 sukan, jumlah tertinggi berbanding negeri rakan penganjur lain.
“Ini menunjukkan keyakinan besar terhadap kesediaan, kemampuan dan komitmen kita untuk menganjurkan acara bertaraf dunia,” ujarnya.


