ARTIKEL

Abdul Karim ketika meninjau tapak projek naik taraf Stadium Sarawak, di sini.

Stadium Taha Arifin akan dinilai semula selepas Sukan SEA 2027

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerja-kerja naik taraf Stadium Taha Arifin, gelanggang tuan rumah Kuching City FC (KCFC), akan dinilai dari perspektif lebih menyeluruh selepas Sukan SEA 2027, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, ia susulan perkembangan KCFC yang kini turut bersaing di peringkat antarabangsa, sekali gus memerlukan kemudahan yang memenuhi syarat lebih tinggi.

“Buat masa ini, kerja naik taraf Stadium Taha Arifin akan disusun mengikut keperluan tertentu.

“Tetapi kita perlu melihatnya dari perspektif yang lebih besar selepas Sukan SEA.

“Terutama pada masa ini kita dapat melihat KCFC, mereka bukan sahaja terlibat dalam bola sepak kebangsaan.

“Kini mereka telah melangkah ke tahap lebih tinggi dan sudah tentu memerlukan kemudahan kejohanan peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas meninjau tapak projek naik taraf Stadium Sarawak, di sini.

KCFC kini bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2), namun Stadium Taha Arifin belum dapat digunakan bagi perlawanan di bawah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana kerja naik taraf masih berjalan dan belum memenuhi keperluan pelesenan yang ditetapkan.

Kerja naik taraf stadium berkenaan adalah berasingan daripada projek naik taraf Stadium Sarawak yang terletak bersebelahan dan sedang disediakan sebagai antara kemudahan utama bagi penganjuran Sukan SEA 2027.

Sementara mengenai kerja naik taraf Stadium Sarawak, beliau berkata ia menunjukkan perkembangan menggalakkan apabila kemajuan projek kini mencapai 33.65 peratus, melepasi sasaran asal sebanyak 30.79 peratus.

“Ketersediaan bahan dan komponen yang diperlukan kontraktor turut memberi petunjuk positif terhadap kelancaran pelaksanaan projek.

“Kemajuan semasa perlu dikekalkan bagi memastikan kerja naik taraf dapat disiapkan mengikut jadual serta memenuhi keperluan sebagai salah satu venue utama Sukan SEA 2027,” jelasnya.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datuk Hii Chang Kee; Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Dr Cassidy Morris dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dzulkornain Masron.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU