KUALA LUMPUR: Stadium Tuanku Syed Putra di Kangar, Perlis kini menjadi venue baharu tuan rumah bagi Imigresen FC untuk menghadapi baki saingan Liga Malaysia 2025-2026, berkuat kuasa serta-merta.
Imigresen FC sebelum ini beraksi di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.
Perkembangan itu disahkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook semalam.
“Pindaan tempat perlawanan ini dibuat atas permohonan Imigresen FC dan telah mendapat kelulusan MFL selepas pemeriksaan dijalankan pada 4 Feb 2026 berikutan venue asal tidak dapat digunakan bagi perlawanan sebelah malam,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, MFL memaklumkan perlawanan melibatkan Kelantan The Real Warriors FC selaku tuan rumah akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor berbanding Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu sepanjang bulan Ramadan kali ini.
“Pindaan tempat perlawanan ini dibuat susulan Warta Negeri Kelantan yang menetapkan tiada aktiviti sukan dan hiburan dibenarkan di negeri itu sepanjang bulan Ramadan,” menurut kenyataan itu.— BERNAMA



