ARTIKEL

Startup Village Borneo 2026 di Kuching menghimpunkan pembangun, pengasas, jurutera dan arkitek teknologi dalam bidang AI, rantaian blok serta pelbagai teknologi baharu yang sedang berkembang.

Startup Village Borneo himpunkan penggiat AI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Program Startup Village Borneo 2026 berlangsung di Kuching selama empat hari, bermula 6 hingga 9 September ini dengan penyertaan kira-kira 100 peserta, termasuk dari luar negara.

Program yang dianjurkan bersama syarikat teknologi berpangkalan di Sarawak, SOCOE Sdn Bhd, Solana Foundation dan SuperTeam Malaysia sebagai rakan kongsi utama itu turut mendapat sokongan kumpulan antarabangsa yang terdiri daripada pemain dalam ekosistem teknologi dan pelaburan.

Penganjuran program berkenaan turut menghimpunkan pembangun, pengasas, jurutera dan arkitek teknologi yang terlibat dalam bidang kecerdasan buatan (AI), rantaian blok serta pelbagai teknologi baharu lain.

Sebahagian besar peserta kali ini juga datang dari luar Sarawak, termasuk Semenanjung Malaysia, Eropah, Vietnam, rantau Asia Pasifik, Amerika Syarikat dan Rusia.

Sehubungan itu, SOCOE Sdn Bhd menerusi kenyataan memaklumkan bahawa Startup Village Borneo merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menjadikan pembangunan bakat sebagai sebahagian daripada infrastruktur digital Sarawak.

Katanya, ia juga membuktikan bahawa negeri ini mampu menarik dan bukan sekadar mengeksport bakat teknologi.

“Pembangunan bakat bukan sekadar menganjurkan acara atau pertandingan. Ia adalah usaha membina keupayaan, rangkaian dan persekitaran yang membolehkan orang ramai datang ke Sarawak, mencipta di sini serta kekal terhubung dengan ekosistem teknologi global,” katanya.

Sementara itu, Solana Foundation menyediakan peserta dengan hubungan secara langsung kepada salah satu ekosistem rantaian blok utama dunia serta rangkaian antarabangsa yang terdiri daripada pembangun, usahawan dan rakan teknologi.

Berpangkalan di Zug, Switzerland, yayasan bukan berasaskan keuntungan itu berperanan menyokong desentralisasi, penerimaan dan keselamatan ekosistem Solana.

Solana Foundation memberitahu bahawa dengan membawa ekosistem ini ke Kuching, ia dapat mewujudkan peluang kepada pembangun untuk membina hubungan, menguji idea serta mendapatkan akses kepada pengetahuan dan rangkaian yang melangkaui program ini.

Untuk rekod, Startup Village Borneo direka berasaskan pembangunan penyelesaian dunia sebenar dan bukannya membangunkan teknologi semata-mata untuk tujuan pertandingan.

Peserta dikehendaki membawa produk mereka ke sekitar Kuching, berinteraksi dengan bakal pengguna serta mendokumentasikan masalah yang dihadapi, sekali gus membolehkan pasukan menguji sama ada penyelesaian mereka benar-benar memenuhi keperluan sebenar.

Peserta memulakan pengalaman mereka dengan meneroka bandar raya Kuching menerusi aktiviti berbentuk Amazing Race, dengan cabaran melibatkan makanan tempatan serta kunjungan ke mercu tanda dan lokasi termasuk Tebingan Sungai Kuching dan Jalan Carpenter.

Program itu akan diakhiri dengan Hari Demo (Demo Day) pada 9 September apabila peserta akan mempersembahkan produk serta perkembangan yang dicapai sepanjang program.

BERITA LAIN

Anak Sarawak sumbang Rolls-Royce antik kepada Muzium

KUCHING: Seorang anak Sarawak berhasrat menyumbangkan kereta Rolls-Royce antik miliknya kepada Muzium Sarawak bagi membantu memelihara warisan sejarah dan kebudayaan negeri ini. Cadangan itu bertujuan

BERITA TERBARU

Samarahan tidak rela berputih mata

BINTULU: Skuad Samarahan bersedia mengharungi baki 90 minit aksi separuh akhir kedua menentang Bintulu di Stadium Bintulu, petang esok. Pasukan itu membawa bekalan kelebihan tiga