KUCHING: Adun Muara Tuang, Datuk Idris Buang semalam mempertahan keputusan ahli parlimen GPS untuk tidak mengundi sewaktu pembentangan usul Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada 9 April lalu.
Tegasnya, penyokong Kerajaan PH tidak harus memutar belit kenyataan sebenar, kerana pindaan tersebut tidak memberi pembelaan sewajarnya terhadap Sabah dan Sarawak.
“Perjanjian Malaysia 1963 tidak menyebut apa-apa tentang hak istimewa Sabah dan Sarawak. Begitu juga dengan pindaan pada 1976.
Justeru pada pindaan pada kali ini, kita menuntut pindaan menyeluruh, bukan bertahap,” tegasnya ketika hadir pada perdebatan ‘Adakah rakyat Sarawak harus menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) yang dibentangkan di Parlimen pada 9 April 2019 berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963’ anjuran sebuah portal berita di sini semalam.
Katanya, jika GPS menyokong pindaan berkenaan, ia meletakkan kedudukan Sarawak pada status yang sama.
Kerana itulah ahli-ahli parlimen GPS mendesak agar perkataan ‘Pursuant to MA63’ dimasukkan ke dalam pindaan tersebut, sesuatu yang perlu dilakukan sejak dahulu lagi.
“Generasi dahulu telah membuat kesilapan dan inilah masanya kita membaiki kesilapan dahulu,” jelasnya lagi.
Sementara itu pasangan debat Idris, Pengerusi Pro Reformasi 98 Sarawak, Iswardy Mordi menuduh GPS melakukan ‘permainan politik’ di sebalik tindakannya pada 9 April lalu.
“GPS menolak pindaan tersebut kerana ingin ‘menuntut hak orang Sarawak’, tidak ubah seperti ugutan yang digunakannya sejak 42 tahun lalu.
“Pada 1957, satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Tanah Melayu telah ditandatangani dan perlembagaan pertama diwujudkan sebagai Perlembagaan Tanah Melayu.
“Persekutuan kemudian membawa masuk Sarawak dan Sabah ke dalam persekutuan, maka diwujudkan Perjanjian Malaysia.
“Sabah dan Sarawak kemudian menyertai Persekutuan dan memegang status sebagai ‘Borneo’s State’.
Perkara tersebut katanya, mengalami perubahan pada 1976, menyebabkan Sarawak kehilangan haknya dalam perjanjian.
“Ia telah diubah oleh seramai 130 ahli parlimen termasuk wakil BN Sarawak dan Sabah, yang kemudian membuang perkataan ‘Borneo’s State’, meletakkan Sarawak dan Sabah setara dengan negeri-negeri lain.
Iswardy kemudian mempersoal siapa sebenarnya yang menyebabkan Sarawak kehilangan hak keistimewaannya.
Beliau malah menuduh ini GPS tidak membuat persediaan mengenai pindaan atau sengaja membiarkan perkara tersebut begitu sahaja.
Perdebatan kedua-dua pihak ini adalah kemuncak daripada polemik berkaitan isu ini dalam media sosial sejak beberapa minggu lalu.
Beberapa ahli parlimen dari Sarawak turut hadir menyaksikan perdebatan tersebut, termasuk Datuk Alexander Nanta Linggi, Datuk Seri Nancy Shukri dan Datuk Seri Rohani Karim.
Sebelum itu diadakan forum dengan tajuk yang sama, yang disertai Idris, Adun Padungan Wong King Wei; peguam Shankar Ram dan bekas Adun Padungan, Dominique Ng.