TANJUNG MANIS: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) berjaya mencapai sasaran menanam 10,000 pokok menerusi inisiatif EcoGreen Planet lebih awal daripada tempoh lima tahun yang ditetapkan.
Kejayaan itu menjadi pencapaian signifikan menjelang sambutan ulang tahun ke-30
Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) pada tahun depan, selain membuktikan penganjuran festival bertaraf antarabangsa itu turut membawa impak positif dalam usaha kelestarian alam.
Sehubungan itu, Pengerusi STB, Datuk Dennis Ngau berkata, sasaran berkenaan berjaya direalisasikan hasil kerjasama erat antara STB, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), rakan strategik serta masyarakat yang bersama-sama menjayakan program berkenaan.
“Ini dimuktamadkan menerusi penanaman kira-kira 3,800 anak pokok bakau di Taman Negara Bakau Rajang, secara tidak langsungnya melengkapkan sasaran 10,000 pokok.
“Kita berjaya memenuhi janji di bawah program kerjasama lima tahun bersama Sarawak Forestry lebih awal daripada jadual,” katanya pada Program Penanaman Pokok EcoGreen Planet 2026 di Dewan Masyarakat Kampung Rajang, hari ini.
Dalam pada itu, EcoGreen Planet diwujudkan sebagai inisiatif penghijauan STB bagi menyokong komitmen kelestarian RWMF dan Borneo Jazz Festival dengan menyalurkan sebahagian manfaat daripada sektor pelancongan kepada usaha pemulihan alam sekitar.
Dennis berkata, aktiviti penanaman semula di Taman Negara Bakau Rajang dibiayai menerusi sebahagian hasil jualan tiket RWMF tahun ini selain sumbangan penaja korporat, membuktikan industri pelancongan mampu menjadi pemacu kepada aktiviti konservasi.
“Kawasan ini dipilih kerana pernah terjejas akibat aktiviti pembersihan hutan secara haram dan usaha pemulihan bakau amat penting bagi meningkatkan penyerapan karbon.
“Ia membantu mengurangkan hakisan pantai serta memulihkan habitat pelbagai spesies hidupan,” jelasnya.






