KUALA LUMPUR: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih tempat ketiga dalam Anugerah Reruai Paling Kreatif sempena Ekspo Menyelam Antarabangsa Malaysia (MIDE) 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Sharzede Datu Salleh Askor berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan usaha berterusan STB dalam memperkukuh kehadiran Sarawak dalam sektor pelancongan marin dan selaman serantau menerusi pameran destinasi yang kreatif serta menarik.

Katanya, produk pelancongan marin Sarawak diketengahkan melalui tarikan bawah air, termasuk Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti, perairan jernih di Kuching dan Sematan, Pulau Satang serta lokasi selaman bangkai kapal bersejarah era Perang Dunia Kedua yang terus menjadi antara aset utama portfolio pelancongan marin Sarawak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Penyertaan kami di MIDE 2026 ini turut membuka peluang berharga untuk berhubung semula dengan pemain industri, memperkukuh kerjasama strategik dan mempromosikan pengalaman bawah air unik Sarawak kepada rakan perdagangan serta peminat selaman,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Penganjuran MIDE 2026 merupakan edisi ulang tahun ke-20 pameran menyelam utama Malaysia yang berlangsung dari 5 hingga 7 Jun lalu bertemakan “Forged by the Ocean – Two Decades of Passion, Purpose and Protection”.


