BINTULU: Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu terus diperkasa bagi melahirkan generasi muda yang mampu menerajui usaha pemuliharaan alam sekitar menerusi pengetahuan, kemahiran dan inovasi teknologi.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR), Wan Sufian Wan Mustapha berkata, penguasaan STEM membuka peluang kepada golongan muda memahami isu alam sekitar dari pelbagai perspektif, selain membangunkan penyelesaian kreatif berasaskan ilmu dan teknologi.

Menurutnya, pengetahuan yang diperoleh di sekolah berpotensi membawa perubahan besar sekiranya diaplikasikan untuk menangani cabaran sebenar masyarakat dan alam sekitar, termasuk pemuliharaan ekosistem marin.
Katanya, tanggungjawab melindungi ekosistem marin bukan hanya terletak pada saintis atau pakar bidang berkenaan, sebaliknya memerlukan sumbangan pelbagai disiplin kepakaran.
“Ada yang akan menyumbang melalui penyelidikan, ada yang membangunkan teknologi, ada yang menghasilkan dasar, dan ada juga yang mendidik serta menggerakkan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program STEM Fair Pemuliharaan Marin Bersama Sekolah-Sekolah Menengah di Bintulu di bawah Projek COREEFS (Coral Reef and Reef Ball for Ecosystem Enhancement and Stewardship), anjuran Sarawak Forestry Corporation (SFC) dengan kerjasama Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA), di Paragon Bintulu, di sini, pada Sabtu.
Wan Sufian berkata, pendedahan kepada bidang STEM melalui program seumpama itu penting dalam membentuk pemikiran kritis, kreativiti dan keupayaan pelajar mengaplikasikan ilmu pengetahuan bagi menyelesaikan permasalahan sebenar.
Beliau berkata, cabaran pemuliharaan marin memerlukan pendekatan berasaskan penyelidikan dan inovasi, sekali gus membuka ruang kepada generasi muda untuk memainkan peranan lebih besar dalam melindungi biodiversiti serta kelestarian ekosistem laut.
Sehubungan itu, beliau berharap pengalaman sepanjang program berkenaan dapat mendorong pelajar melihat sains dan teknologi bukan sekadar mata pelajaran di sekolah, tetapi sebagai alat untuk memahami dunia dan menyumbang kepada penyelesaian cabaran alam sekitar.
Katanya, tidak mustahil sebahagian peserta program itu bakal menjadi saintis marin, jurutera, penyelidik, usahawan teknologi atau pemimpin yang membawa idea baharu bagi pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
“Apa yang penting ialah anda terus belajar, berani mencuba dan menggunakan pengetahuan dengan tujuan yang baik,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan modal insan dan penguasaan ilmu antara asas penting dalam mempersiapkan rakyat Sarawak menghadapi peluang serta cabaran masa depan.
Menurutnya, golongan muda daripada pelbagai latar belakang perlu diberikan peluang meneroka bidang baharu, meningkatkan kemahiran dan mengambil bahagian secara aktif dalam pembangunan negeri.
Beliau berkata, usaha berkenaan turut selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) yang berteraskan tiga tonggak utama, iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Justeru, beliau berharap program pendidikan berasaskan STEM dapat diteruskan menerusi kerjasama erat antara agensi kerajaan, sektor industri dan institusi pendidikan bagi memperluas akses kepada ilmu pengetahuan serta meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, guru dan ibu bapa atas peranan serta sokongan mereka dalam membimbing pelajar meneroka potensi diri.
Katanya, keberanian mencuba, pengalaman bekerja dalam pasukan dan pengetahuan yang diperoleh menerusi program seumpama itu ialah nilai penting dalam membentuk generasi yang lebih berpengetahuan, kreatif dan bertanggungjawab.
Beliau berharap COREEFS STEM Fair 2026 bertemakan “Restoring the Sea” dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif pendidikan dan inovasi yang menghubungkan penguasaan STEM dengan tanggungjawab memelihara khazanah alam untuk generasi akan datang.
Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintulu muncul johan Pertandingan Cabaran Inovasi STEM, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Kidurong 2 pula dipilih sebagai johan Pertandingan Kuiz Pengetahuan Marin.



