KUCHING: Proses penelitian, perbahasan dan kelulusan Belanjawan 2027 perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan pembubaran awal Parlimen dipertimbangkan bagi memastikan urusan kewangan serta agenda pembangunan negara tidak terjejas.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ahmad Ibrahim berkata, pembubaran Parlimen semasa proses berkenaan masih berjalan boleh menjejaskan kelancaran kelulusan peruntukan yang diperlukan kerajaan untuk melaksanakan pelbagai komitmen kepada rakyat.
“Kelewatan itu berpotensi memberi kesan kepada perbelanjaan kerajaan, projek pembangunan, program infrastruktur serta pelbagai keperluan lain yang melibatkan kepentingan jutaan rakyat Malaysia.
“Keadaan ini boleh melambatkan kelulusan peruntukan kewangan yang diperlukan untuk perbelanjaan kerajaan, projek pembangunan, program infrastruktur serta pelbagai komitmen lain yang melibatkan kepentingan jutaan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Pertahanan dan Keselamatan Majlis Dewan Negara, berkata Dewan Rakyat dijadualkan menyelesaikan perbahasan peringkat jawatankuasa pada 26 November ini, manakala Dewan Negara akan memulakan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada 30 November 2026.
Ujarnya, pembubaran Parlimen sebelum proses perundangan itu selesai berisiko menyebabkan Rang Undang-Undang Perbekalan yang masih dalam pertimbangan luput tempoh.
Keadaan itu juga memerlukan kerajaan dan Parlimen baharu membentangkan serta mendapatkan kelulusan semula bagi belanjawan berkenaan.
Ahmad menegaskan bahawa Parlimen mempunyai tanggungjawab penting untuk meneliti perbelanjaan kerajaan bagi memastikan setiap peruntukan wang rakyat diuruskan secara bertanggungjawab.
“Pembubaran awal Parlimen mungkin dibenarkan oleh Perlembagaan, tetapi itu tidak semestinya bermakna masanya sesuai.
“Ada masa untuk berpolitik, ada masa untuk pilihan raya, dan ada masa untuk kita menunaikan amanah serta tanggungjawab kepada negara.
“Urusan penting Parlimen, khususnya berkaitan kelulusan Belanjawan 2027, perlu diberi keutamaan demi kepentingan negara dan rakyat,” tambahnya.




