KUCHING: Seramai 32 penghuni Madrasah Mahat Tahfiz Usnul Khatimah, di sini terselamat dalam kejadian kebakaran stor dapur, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 3.51 pagi menyebabkan dapur berkeluasan 15×30 kaki itu musnah 30 peratus.

Katanya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dibantu BBP Padungan digerakkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
“Pihak bomba terus menjalankan operasi pemadaman satu aliran dua nozel, 200 kaki sumber air tangki jentera ke bilik stor untuk mengawal kebakaran dari merebak ke blok utama.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.25 pagi dan kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 5.18 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
PGO berkata, kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan.
Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.



