Strain virus Covid-19 di Sarawak perlu dikaji

KUCHING: Strain virus Covid-19 yang dikesan di Sarawak perlu dikaji oleh saintis dan universiti bagi mengenal pasti perbezaannya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Sim Kui Hian berkata, strain virus yang dikesan pada beberapa kluster ketika ini adalah berbeza berbanding tahun lalu.

Jelasnya, strain virus yang dikesan pada Mac dan April tahun lalu adalah dari Wuhan, China berdasarkan turutan genom yang dijalankan oleh Unimas.

Sementara katanya, strain dari Kluster Stutong dan Kluster Keranji mempunyai komponen genetik dari Indonesia dan United Kingdom (UK).

Manakala, beliau berkata Kluster Pasai di Sibu menunjukkan strain virus yang didapati sama seperti di Semenanjung Malaysia dan UK.

“Namun varian yang dikesan di negeri ini bukan varian yang terkini dari UK yang lebih mudah merebak.

“Turutan genetik menunjukkan ia mempunyai persamaan dengan varian UK namun ia dari mutasi yang berlainan, virus ini kerap bermutasi,” katanya dalam sidang video bersama Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Clarence Ting hari ini.

Beliau memberitahu, ketika ini kesan klinikal bagi varian yang bermutasi ini belum lagi dapat diketahui.

Kata Kui Hian, 40 kes yang dilaporkan di negeri ini menunjukkan simptom berbanding 20 peratus kes seluruh dunia yang menunjukkan simptom.