ARTIKEL

Kullin Djayang. Gambar fail.

STU persoal kualiti pengambilan guru baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) meneliti semula kualiti pengambilan guru baharu di negeri ini susulan dakwaan bahawa proses itu kebelakangan ini dilaksanakan secara terburu-buru.

Presidennya, Kullin Djayang, berkata STU tidak mempertikaikan kredibiliti SPP dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam memartabatkan bidang pendidikan tinggi, namun beberapa perkara penting perlu diberi penekanan demi menjaga standard profesion perguruan.

“Sejak kebelakangan ini, pengambilan guru di Sarawak seolah-olah dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa sehingga syarat umum calon guru, termasuk keputusan minimum 5A peringkat SPM dan PNGK 3.0 di peringkat STPM, dilihat diketepikan.

“Ketika sesi pengambilan terbaharu, kami (STU) mendapati ramai calon dari institusi pengajian tinggi (IPT) swasta yang tidak menepati syarat umum telah ditempatkan di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Ceramah Kepentingan Kesatuan dan Peranan Wakil Sekolah anjuran STU Bahagian Serian, di sini.

Beliau berkata, walaupun memahami keperluan mengisi kekosongan guru, semua calon sepatutnya melalui saringan ketat seperti yang diamalkan oleh Institut Pendidikan Guru (IPG) dan IPT awam, termasuk ujian MEDSI atau UKELP serta temu duga khas.

Justeru, beliau mencadangkan agar semua guru baharu dari IPT swasta diwajibkan menduduki ujian berkaitan psikologi pendidikan, pedagogi mengikut pengkhususan serta ujian psikometrik sebelum disahkan ke jawatan tetap.

“Bagi calon guru Bahasa Inggeris pula, mereka perlu memenuhi syarat bergraduasi iaitu mencapai tahap CEFR C1 untuk menjamin kompetensi bahasa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut meminta MQA melakukan pemantauan lebih kerap terhadap IPT swasta, termasuk aspek fasiliti, kurikulum dan tenaga pengajar sebelum sesuatu program diberikan pengiktirafan.

“Harapan kami agar IPT swasta tidak lagi mengambil pelajar dengan kelayakan terlalu minimum untuk program perguruan.

“Ini kerana masih ramai pelajar cemerlang yang tidak mendapat tempat di IPG dan IPTA.

“Adalah lebih baik mereka yang layak ini dilatih berbanding mengambil pelajar yang tidak memenuhi syarat,” tegasnya.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha