STU sambut baik keputusan JPBN berkaitan sesi persekolahan di Sarawak

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menyambut baik keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) mengenai pembukaan semula sekolah di negeri ini.
Presidennya Adam Parkash Abdullah berkata, sesi persekolahan secara bersemuka itu hanya melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) vagi tahun 2020 dan 2021.
“Menerusi arahan ini, STU yakin pihak sekolah mampu untuk menguruskan prosedur operasi standar (SOP) di sekolah bagi mengawal penularan Covid-19 dengan kerjasama ibu bapa dan pelajar itu sendiri,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Adam menambah, tanggungjawab untuk mendidik anak-anak bangsa sememangnya menjadi tanggungjawab guru tidak kira secara bersemuka ataupun tidak khususnya semasa tempoh kritikal ini.
“Justeru, STU ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang bertugas di Sarawak terutamanya ahli STU yang bertungkus lumus dalam persiapan pembukaan sekolah.
“Ini lebih-lebih lagi dengan cabaran di beberapa sekolah yang terjejas akibat banjir,” jelasnya.
Menurut Adam, kehadiran seorang guru amat penting kepada pelajar walaupun hanya secara maya.
Beliau turut menasihatkan guru yang menyerahkan bahan pembelajaran kepada pelajar agar sentiasa berhati-hati dan sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal serta menggunakan pelitup muka.
“Selain itu, STU menyeru agar ibu bapa sentiasa berkomunikasi dengan guru anak-anak mereka supaya pembelajaran anak-anak dapat diteruskan semasa pandemik ini.
“Tidak kira apa yang berlaku, pembelajaran perlu diteruskan. Ia hanya dalam bentuk yang berbeza semasa pandemik ini,” ujarnya lagi.
Semalam, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi JPBN Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut mengumumkan murid prasekolah, sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah yang tidak menduduki peperiksaan di daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat tidak perlu menghadiri kelas secara bersemuka.
Bermula pada 20 Januari ini, mereka akan mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid.

Suara Sarawak