Suami isteri terlepas tali gantung

KUCHING: Sepasang suami isteri terlepas tali gantung setelah Mahkamah Tinggi mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima-facie terhadap pemilikan dadah tersebut.

Hakim Azhari Kamal Ramli mendapati pendakwaan gagal membuktikan elemen pemilikan dadah yang ditemui di dalam bilik stor rumah kedua-dua tertuduh iaitu suami isteri Aslan Pardie dan Julia Mohamad Edwin.

Pasangan berkenaan diarahkan dibebaskan dan dilepaskan serta merta dari pertuduhan itu.

Azhari berpendapat, memandangkan tertuduh pertama Aslan mempunyai perniagaan pakaian terpakai dan berupaya mengaji beberapa pekerja yang boleh mengakses rumah dan bilik stor terbabit.

Beliau juga berpendapat bahawa rumah didiami pasangan itu boleh diakses oleh sesiapa saja memandangkan ketika pegawai penyiasat membuat siasatan di rumah itu mendapati pagar dan pintu rumah serta mangga pintu besi rumah berkenaan telah pecah dan boleh dimasuki oleh sesiapa saja.

Kedua-dua suami isteri berkenaan telah ditahan reman di penjara sejak 8 November 2018 setelah disyaki mengedar dadah jenis syabu yang mengandungi 339.344 gram methamphetamin.

Mereka telah didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Merbahaya, 1952 yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang dari 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.30 petang di sebuah rumah di Jalan Datuk Mohd Musa Kota Samarahan di sini pada 8 November 2018.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Haffiza Jamali manakala pasangan berkenaan diwakili peguam Osman Ibrahim, RJ Noel dan Fadzillah Osman.

Suara Sarawak